LIMBANG, 15 Mac: Sarawak sedang membangunkan kawasan penanaman padi seluas 450 hektar di Bahagian Limbang membabitkan Kampung Pandam di Limbang dan Daerah Kecil Sundar di Lawas bermula tahun ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ia sejajar dengan hasrat Sarawak untuk menjadikan wilayah ini sebagai kawasan jelapang padi dengan membangunkan keseluruhan kawasan seluas 14,000 hektar.
Menurutnya, pemilihan Kampung Pandam dan Sundar dilakukan berdasarkan potensi, kesuburan tanah dan kawasannya yang strategik untuk tanaman itu.
“Kita sudah kenal pasti setakat ini Kampung Pandam, Limbang seluas 400 hektar dan Daerah Kecil Sundar Lawas membabitkan keluasan 50 hektar untuk penanaman padi.
“Kita akan tumpu dulu kawasan ini dan setakat ini kita sudah mengenal pasti 5,000 hektar kawasan bagi projek penanaman padi di Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Bukit Kota di Dewan Bunga Raya pada Sabtu.
Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota menjelaskan, Sarawak turut menyediakan kemudahan asas dan menaiktaraf sistem pengairan di kawasan penanaman padi bagi memastikan padi dapat mengeluarkan beras berkualiti sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Tambahnya, projek jelapang padi tersebut amat penting dalam usaha Sarawak memastikan keterjaminan makanan pada masa akan datang. -TVS