Berita

 

Kerajaan pertimbang masukkan padi huma dalam SSR beras negara

Disiarkan pada 12 Mar 2025
Sumber Berita: TVS

Kerajaan sedang meneliti kemungkinan memasukkan tanaman padi huma dalam Self-Sufficiency Ratio (SSR) beras negara, satu langkah yang berpotensi mengubah dasar sekuriti makanan negara. Foto hiasan Envato
 

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan memasukkan tanaman padi huma dalam Self-Sufficiency Ratio (SSR) beras negara, satu langkah yang berpotensi mengubah dasar sekuriti makanan negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joesph Kurup berkata, kementerian sedang meneliti aspek-aspek yang perlu dipenuhi sebelum padi huma boleh diiktiraf sebagai sebahagian daripada pengeluaran beras nasional.

Menurutnya ketika ini, tanaman padi huma tidak diambil kira dalam SSR beras negara kerana ia ditanam secara semi-tradisional dan bergantung kepada sumber air semula jadi.

Namun, keluasan bertanam yang signifikan serta jumlah pengeluaran yang semakin meningkat mendorong kerajaan untuk mempertimbangkan semula pendekatan ini.

“Di Sabah, pada tahun 2024 kawasan bertanam adalah seluas 11,960.19 hektar dan di Sarawak adalah seluas 15,497.50 hektar

“Kementerian sedang meneliti perkara ini untuk diambil kira dalam pengeluaran SSR beras khusus bagi Sabah dan Sarawak kerana keluasan bertanam dan jumlah pengeluaran yang tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Bobbey Suan semasa Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Bobbey Suan ingin tahu impak peruntukan RM50 juta tahun lalu kepada pesawah padi huma di Sabah dan Sarawak, adakah ia meningkatkan tahap SSL beras Sabah, serta apakah insentif tambahan tahun ini bagi kesinambungan bantuan tersebut.

Sementara itu, Arthur turut mendedahkan sebanyak 33,597 pesawah di Sarawak dan Sabah telah menerima peruntukan dalam bentuk subsidi input pertanian di bawah program Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) berjumlah RM53.46 juta pada tahun lepas.

“Pemberian subsidi ini bukan sahaja dapat meringankan beban kos pengeluaran yang ditanggung oleh pesawah tetapi juga sebagai dorongan kepada mereka agar terus mengusahakan tanaman padi bukit/huma ini secara mampan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat.

“Sebagai kesinambungan kepada inisiatif terdahulu, Kerajaan komited untuk meneruskan pemberian input pertanian bersubsidi di bawah program SBRPB pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM53.46 juta,” katanya.

Menurut Arthur lagi, inisiatif itu bertujuan meningkatkan produktiviti, daya tahan ekonomi pesawah yang mengusahakan tanaman padi bukit/huma seterusnya memperkukuh sektor pertanian di Sarawak dan Sabah. – TVS