MIRI, 15 Feb: Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) di Brunei Darussalam tahun lalu membuka peluang kepada pelabur yang ingin melabur di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai berkata, STATOB sentiasa menerima kunjungan bukan sahaja daripada warga Brunei malah pelabur negara luar seperti Vietnam, Jepun dan Korea yang sudah bertapak di Brunei.
“Kami mendapat banyak pertanyaan daripada pihak Vietnam yang nak masuk ke Sarawak dan kami akan memberitahu mereka apa yang diperlukan.
“Kami sememangnya mengalu-alukan kedatangan mereka bukan sahaja dari Brunei tetapi juga mereka yang sudah beroperasi di Brunei seperti Vietnam, China, Jepun dan Korea yang ingin ke Sarawak. Kami juga akan memberi perkhidmatan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Acara Brunei Coffee Trail, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, dengan adanya AirBorneo kelak, ia sudah pasti akan memudahkan urusan antara Brunei dan Sarawak.
“Itu (AirBorneo) akan banyak membantu kerana sekarang warga Brunei juga menunggu walaupun mereka mempunyai penerbangan empat kali seminggu ke Kuching yang disediakan Royal Brunei Airlines (RBA).
“Apabila ada AirBorneo nanti mereka bukan sahaja boleh ke Kuching, tetapi mungkin juga ke Sibu dan Bintulu. Ia juga akan dapat memperkenalkan bahagian lain di Sarawak kepada warga Brunei,” ujarnya.
Perasmian STATOB disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3 Oktober 2024. – TVS