KUALA LUMPUR, 13 Feb: Kerajaan mengumumkan penyelarasan harga lantai belian padi dari RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa 16 Februari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah ini diambill bagi menangani peningkatan kos pengeluaran dan memastikan kebajikan pesawah, pengilang dan pengguna terpelihara.
Jelas beliau, kerajaan turut mengekalkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) pada RM2.60 per kilogram (kg) untuk menstabilkan harga di pasaran dan memastikan bekalan beras mencukupi.
“Untuk menjayakan inisiatif ini, kerajaan akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pihak pengilang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Dalam tempoh enam itu, sebanyak 24 juta kampit 10kg beras putih yang berharga RM26 akan berada di pasaran. Pengumuman ini diharap dapat menjadi solusi menang-menang kepada pesawah, pengilang dan juga pengguna,” katanya pada sidang media, di Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penyelarasan harga padi ini juga bertujuan untuk mengimbangi kos yang ditanggung oleh pengilang beras, dengan memberi ruang untuk mengekalkan harga beras putih tempatan yang mampu milik.
Jelasnya, kerajaan turut memberi perhatian kepada subsidi pertanian, yang merupakan antara yang tertinggi di ASEAN, untuk membantu pesawah meningkatkan hasil mereka.
“Oleh itu, para pasawah juga hendaklah bersama dengan pihak kerajaan dan KPKM, berusaha bagaimana untuk meningkatkan hasil mereka dan ternyata apabila konsep Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan dibuat di Kedah, Terengganu dan Kelantan, (maka) memang mampu menjana hasil padi berlipat ganda,” katanya. -TVS.