KUCHING, 21 Jan: Pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Sarawak diingatkan untuk mengamalkan sikap berdisiplin serta ramah ketika berurusan dengan orang ramai, bagi meningkatkan profesionalisme dan kualiti kerja.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata jabatan itu perlu memberikan komitmen terhadap penyelesaian yang cekap dan berkualiti, di samping memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan sasaran yang jelas dalam garis masa ditetapkan.
“Dalam perkhidmatan, kita berurusan dengan orang ramai. Oleh itu, sangat penting untuk menunjukkan empati dan kebaikan dalam setiap interaksi. Jangan tunjuk muka masam apabila seseorang datang ke pejabat untuk membuat pertanyaan.
“Sebagai seorang pegawai, anda bertanggungjawab menjaga imej jabatan atau organisasi yang diwakili, khususnya Jabatan Pertanian Sarawak. Tingkah laku anda mencerminkan nilai dan reputasi organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Jabatan Pertanian Sarawak di Pejabat Bahagian Kejuruteraan Pertanian di sini, hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben, dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
Dr Rundi turut menegaskan peranan Jabatan Pertanian Sarawak sebagai penasihat serta penyedia latihan kepada masyarakat, khususnya dalam memperkenalkan amalan pertanian moden dan efektif.
“Kita perlu menyarankan penduduk luar bandar untuk mengubah cara bercucuk tanam dengan teknik yang betul dan kaedah yang dapat meningkatkan produktiviti hasil tani.
“Saya sudah berbincang dengan saudara Dominic, jika sesuatu perkara itu tidak menguntungkan, lupakan sahaja. Segala usaha mesti diterjemahkan kepada nilai dalam bentuk ringgit dan sen. Jika tidak membawa keuntungan, jangan lakukan dan jangan membuang masa,” jelasnya.
Beliau juga menegaskan setiap tindakan perlu memberi manfaat kepada matlamat yang telah ditetapkan untuk mencapai hasil yang bermakna serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Terdahulu, Dr Rundi menyempurnakan acara flag-off bagi 12 kenderaan pacuan empat roda jenama Toyota Hilux yang diserahkan sebagai kenderaan rasmi kepada Jabatan Pertanian Sarawak.