KUCHING, 21 Jan: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkukuhkan sektor logistik dengan memberi tumpuan khusus kepada pembangunan dan peningkatan kenderaan pengangkutan, termasuk di kawasan luar bandar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, berkata sebanyak 12 kenderaan pacuan empat roda telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Sarawak untuk memudahkan agensi itu mengakses komuniti petani di kawasan pedalaman Sarawak, terutamanya di daerah-daerah kecil.
“Saya pasti kerajaan negeri merancang untuk membuat jalan raya ke kawasan luar bandar sekarang ini supaya kita boleh mendapatkan logistik yang lebih baik. Ini kerana dengan cara itu, kita dapat mengubah nasib petani-petani kita yang kebanyakannya berada dalam kumpulan isi rumah B40.
“Jadi, rancangannya adalah untuk mentransformasikan kawasan luar bandar bagi memastikan mereka mampu memperoleh pendapatan yang mencukupi, iaitu RM6,000 bagi setiap keluarga petani menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Rasmi Jabatan Pertanian Sarawak, di Pejabat Bahagian Kejuruteraan Pertanian, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben dan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat.
Mengulas lanjut, kata Dr Rundi, penyerahan kenderaan itu bertujuan meningkatkan ketersambungan dengan penduduk luar bandar dan mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di seluruh Sarawak.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga akan sentiasa memastikan peningkatan tahap aksesibiliti dan logistik di negeri ini termasuk telekomunikasi, bekalan elektrik dan air. – TVS