News

 

TBP, TBTP dilaksana bantu petani terjejas akibat bencana

Posted on 15 Nov 2024
Source of News: TVS

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben

KUCHING, 15 Nov: Sebagai langkah membantu petani yang menghadapi kerosakan tanaman dan ternakan akibat bencana, dua program iaitu Tabung Bencana Pertanian (TBP) dan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dilaksanakan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Martin Ben berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan sebagai langkah meringankan beban petani.

Menurutnya, TBP memberi fokus kepada sektor agromakanan selain padi yang terkesan akibat bencana pertanian.

“Bantuan yang diberikan melalui TBP adalah berbentuk bukan kewangan seperti input pertanian dan peralatan mengikut nilai kadar yang telah ditetapkan serta bantuan lain yang bersesuaian yang diluluskan di peringkat Persekutuan.

“Manakala, semua bantuan TBTP berbentuk wang tunai meliputi keluasan maksimum sebanyak tiga hektar bagi setiap pesawah, melibatkan bantuan tunai bernilai RM1,800 sehektar (bantuan kerugian hasil padi), diikuti RM876 sehektar (bantuan penanaman semula padi dan bencana kemarau).

“Bagi input tanaman padi, kadar bantuan tertakluk kepada cadangan Jawatankuasa Teknikal di Peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bukit Semuja John Ilus berkenaan bantuan kepada petani yang terkesan akibat kerosakan tanaman atau ternakan akibat bencana pada Persidangan DUN hari ini.

Martin menjelaskan, banjir merupakan antara bencana yang menyebabkan kerugian kepada petani, penternak, nelayan, pertubuhan peladang, pemasar agromakanan, pengusaha akuakultur serta pengusaha industri makanan dan asas tanai (IMAT).

“Kementerian melalui agensi berkaitan akan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam meringankan beban para petani dan pekebun yang terkesan, tertakluk kepada ketersediaan peruntukan,” ujarnya.-TVS