SEDC Nutreco Sdn Bhd umum kerjasama projek pertanian lestari BSF

Posted on 18 Sep 2024
Source of News: TVS

SEDC Nutreco Sdn Bhd, Entomal Borneo Sdn Bhd, dan Natpro Biotech Sdn Bhd mengumumkan usaha sama untuk membangunkan projek inovatif Lalat Askar Hitam (Black Soldier Fly, BSF). Foto hiasan Envato

KUCHING, 18 Sept: SEDC Nutreco Sdn Bhd, Entomal Borneo Sdn Bhd dan Natpro Biotech Sdn Bhd mengumumkan usaha sama untuk membangunkan projek inovatif Black Soldier Fly (BSF) yang merupakan projek pertanian dan akuakultur lestari.

Usaha berkenaan yang dimeterai pada 5 September 2024 lepas dijangka mencipta perubahan besar dalam penghasilan makanan haiwan dan baja organik.

“Fokus utama projek ini adalah penubuhan fasiliti pengeluaran larva lalat hitam yang berpotensi tinggi sebagai ramuan berkualiti dalam makanan unggas dan akuakultur.

“Larva BSF kaya dengan protein dan nutrien penting, menjadikannya alternatif mampan kepada komponen makanan yang biasa diimport seperti tepung ikan dan soya, yang mempunyai jejak karbon tinggi,” menurut kenyataan itu hari ini.

Inisiatif itu turut menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan konvensional, sekali gus mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan amalan pertanian lebih lestari.

Langkah ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS-2030) dan inisiatif Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang menekankan pengurangan impak alam sekitar serta peningkatan keselamatan makanan.

“Selain penghasilan makanan haiwan, projek ini turut memberi tumpuan kepada pengeluaran frass, iaitu baja organik yang dihasilkan oleh larva lalat askar hitam.

“Baja ini diiktiraf sebagai produk semula jadi yang berupaya memperkayakan tanah dan meningkatkan pertumbuhan tanaman, menjadikannya alternatif mesra alam kepada baja sintetik,” tambah kenyataan itu lagi.

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama ini turut dihadiri oleh wakil-wakil penting daripada setiap syarikat, termasuk Pengurus Besar SEDC merangkap Pengarah SEDC Nutreco, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Entomal Borneo, Vic Pui Wee Kong dan Pengarah Urusan Natpro Biotech, Syed Ahmad Tarmizi Wan Yusop. – TVS.