CENTEXS Kuching Berjaya Bangunkan Teknologi Pertanian Ketepatan Pintar Pertama Di Malaysia
Disiarkan pada 04 Apr 2024
Sumber Berita: Facebook UKAS




KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) berjaya membangunkan teknologi pertanian ketepatan pintar pertama di Malaysia melibatkan penanaman padi apabila projek eksperimen yang dijalankan membuahkan hasil positif.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, berkata penanaman padi tersebut juga menggunakan kaedah pengairan sistem titisan dan juga merupakan yang pertama di Malaysia.
Katanya, kaedah inovatif itu dapat mengurangkan penggunaan air hingga 70 peratus dan dijangka dapat menghasilkan sehingga 10 tan padi sehektar pada satu musim.
“Kaedah tanaman ini juga memudahkan proses penuaian padi kerana kita tidak perlu menggunakan kaedah manual, sebaliknya boleh menggunakan mesin.
“Jadi dengan adanya penuaian yang cepat, ia juga akan membolehkan kita mengkomersialkan padi.
“Ini adalah peristiwa penting untuk CENTEXS dan juga Sarawak sebagai titik permulaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Centexs Paddy Testbed di CENTEXS Kuching di sini, pada Rabu.
Tambahnya, program tersebut juga menyaksikan penuaian pertama padi melibatkan tapak pengujian (testbed) di atas tanah seluas kira-kira 1.06 ekar di CENTEXS Kuching.
“Keluasan ini masih berskala kecil, yang mana penuaian hanya kira-kira empat tan pada satu musim.
“Tetapi dengan kejayaan ini, kita akan kembangkan teknologi yang kita guna ini kelak,” ujarnya.
Untuk rekod, CENTEXS Kuching memulakan projek tersebut pada Disember tahun lalu selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meminta CENTEXS menubuhkan unit khusus bagi meneroka teknologi padi dan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih beras.-EDISI UKAS