PUSA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM6.7 bilion di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Sarawak (PKNS) untuk membantu para usahawan dan bakal usahawan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata bantuan dalam bentuk kewangan itu diberikan kepada usahawan tempatan tanpa dikenakan sebarang faedah.
Menurutnya, inisiatif tersebut seiring dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk melahirkan usahawan tempatan yang berjaya dan akhirnya membantu memacu ekoonmi negeri ini.
“Saya menyeru agar usahawan sentiasa menggunakan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan institusi swasta untuk meningkatkan kapasiti dan mengembangkan perniagaan sehingga ke pasaran global.”
Beliau berucap demikian semasa Program Jum Regista Bisnes( Regista) Pusa 2023 bertempat di Dataran Temenggung Kadir Beladin, Pusa pada Selasa.
Beucap lanjut, beliau berkata program tersebut merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak untuk mendaftarkan perniagaan usahawan yang tidak memiliki lesen perniagaan.
“Melalui program ini para usahawan informal terutama di luar bandar dapat dibantu untuk formalize perniagaan mereka.
“Dengan mendaftarkan perniagaan, usahawan kita akan berpeluang untuk menikmati bantuan dari pihak kerajaan mahupun institusi kewangan dan meneroka prospek perniagaan lain,” ucap beliau lagi.
Katanya, bank dunia telah merekodkan bahawa Perusahaan Kecil Dan sederhana (PKS) telah banyak menyumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 selain menyumbangkan ekonomi yang mampan terutamanya kepada Sarawak.
“Melalui program ini masyarakat di luar bandar turut mendapat manfaat daripada program tersebut di samping dapat meneroka bidang perniagaan yang lain,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Razaili turut mengumumkan projek pembinaan Waterfront Dataran Temenggung Kadir, Beladin bernilai RM26 juta, pusat jualan bernilai RM1.3 juta dan Medan Niaga bernilai RM5 juta.
Selain itu, beliau turut menyampaikan cek (Agro Bank) peruntukan dana pembiayaan skim kredit mikro Sarawak setakat November 2023 berjumlah RM3,494,600, Program Usahwan Teknikal dan Vokasional RM38,000, Program Graduan Ke Arah keusahawanan RM147,000 dan Godigital berjumlah RM10,000
Sebanyak 244 orang peserta telah mengikuti program tersebut. – EDIS UKAS