Majlis Pelancaran MYGAP.PF dan Kempen Tanaman Makanan Selamat Untuk Dimakan

Posted on 11 Oct 2023
Source of News: Facebook Jabatan Pertanian Sarawak

10 Oktober 2023 | Sibu

Majlis Pelancaran MYGAP.PF dan Kempen Tanaman Makanan Selamat Untuk Dimakan

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) YB Tuan Martin Ben mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah menyempurnakan Majlis Pelancaran myGAP Pesticide Free (myGAP.PF) dan Kempen Tanaman Makanan Selamat Untuk Dimakan bertempat di Hotel Kingwood, Sibu hari ini.

Skim Pensijilan myGAP telah dirangka dan dilaksana sejak tahun 2002 oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Ianya bertujuan untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.

Skop Skim Pensijilan myGAP ini meliputi myGAP, myOrganic, Pemeliharaan Lebah dan Kelulut (myGAP.AM), Tanaman Bukan Makanan (myGAP.TBM) dan yang terkini Pesticide Free (myGAP.PF).

Pensijilan myGAP.PF yang telah dirasmikan pada 21 Februari 2022 diperkenalkan untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik serta tidak menggunapakai racun perosak sintetik dalam proses pengeluaran mereka.

Dalam majlis sama YB Tuan Martin Ben turut menyempurnakan penyampaian anugerah kepada Agen Pengembangan Tanaman Terbaik Sarawak tahun 2023-2021 dan penyampaian sijil kepada penerima sijil myGAP tahun 2023-2021.

Hadir sama Yang Berusaha Technologist (Ts.) Azreen bin Basir; Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, Dr. Gluma Saban; Ketua Bahagian Dasar dan Pembangunan mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Encik Ronald Ripid; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan, Technologist (Ts.) Hajah Asmah binti Salowi; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Biosekuriti Tumbuhan dan Kuarantin serta para pegawai kanan dari MFICORD dan Jabatan Pertanian Sarawak.