KUCHING | 20 MEI 2023
ADUN N.13 Batu Kitang, YB Ir. Lo Khere Chiang mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak YB Dato Sri Dr Stephen Rundi Anak Utom menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kesedaran Rabies Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) & Agriculture Community Outreach Program (AgriCOP) Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Semeba pada pagi hari ini.
Program Kesedaran Rabies kendalian DVSS merupakan salah satu usaha dalam menangani wabak Rabies di mana kempen vaksinasi anti-rabies, pelesenan anjing serta pemasangan mikrocip dijalankan terutamanya di kawasan yang terjejas bagi mencegah penyebaran lebih lanjut.
Program AgriCOP pula merupakan inisiatif DOA Sarawak dalam memberikan pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian baharu kepada warga tani di samping menggalakkan orang ramai menceburkan diri dan bergiat aktif dalam sektor pertanian.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Encik Sirai Daha; Pengarah DVSS, Dr Adrian Susin Ambud; Timbalan Pengarah DOA Sarawak, Encik Ronald Ripid; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Oii Choo Huck; Pengerusi MPP, Encik Tan Kai dan Ketua Kaum Kampung Semeba, Encik Thomas Gown.