News

 

Sarawak berpotensi sebagai pengeluar dan pengeksport beras utama negara: Abang Johari

Posted on 16 Jan 2025
Source of News: Utusan Borneo
Abang Johari bersama tetamu kehormat yang lain meneliti beras yang dihasilkan di Sungai Padi, Bintangor hari ini.
Abang Johari bersama tetamu kehormat yang lain meneliti beras yang dihasilkan di Sungai Padi, Bintangor hari ini.
 

BINTANGOR: Sarawak berpotensi menjadi pengeluar dan pengeksport beras utama negara, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, aspirasi itu mampu direalisasikan kerana Sarawak mempunyai faktor persekitaran, cuaca, muka bumi dan aspek sampingan, serta ciri-ciri yang berkaitan dengan tanaman padi.

“Pada masa ini, kita mengimport beras dalam jumlah 70 peratus, manakala 30 peratus adalah daripada pengeluaran Sarawak sendiri.

“Sarawak kini memerlukan sebanyak 240,000 tan untuk menampung keperluan kepenggunaan beras dan jika ramai penanam padi kecil dan sederhana terlibat dengan tanaman ini, kita yakin keperluan ini dapat dipenuhi.

“Melalui penglibatan syarikat-syarikat besar dan penggunaan teknologi terkini, kita yakin usaha dan matlamat ini dapat direalisasikan,” ujarnya.

Abang Johari bersama tetamu kehormat yang lain meneliti beras yang dihasilkan di Sungai Padi, Bintangor hari ini.
Abang Johari bersama tetamu kehormat yang lain meneliti beras yang dihasilkan di Sungai Padi, Bintangor hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Padi Hibrid dan Kilang Pemprosesan Padi Onemas di Sungai Padi dekat sini, hari ini.

Sementara itu kata Abang Johari, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kini sedang mengkaji untuk mencipta benih padi hibrid menggunakan benih dari China dan benih dari Sarawak.

Katanya, UNIMAS juga sedang mengkaji sistem penanaman padi yang sesuai dipraktikkan di negeri ini.

“Pada masa ini, syarikat swasta Onemas Agriculture Sdn Bhd yang terletak di Bintangor menggunakan teknologi benih dari China untuk diusahakan di lokasi ini.

“Berdasarkan kajian dan pemantauan yang telah dilakukan, kita mendapati kawasan Sungai Padi berpotensi menjadi lokasi pengeluaran padi berikutan tanahnya adalah tanah gambut dan dilengkapi dengan sistem pengairan yang terancang.

“Antara lokasi lain yang telah dikenal pasti sesuai dengan penanaman padi ini ialah Lawas, Limbang dan Kuching,” kata Abang Johari.

Tambahnya, penggunaan jentera besar dengan bantuan kerajaan akan dipraktikkan di lokasi terbabit bagi memudahkan kerja para pengusaha yang terlibat dengan tanaman padi tersebut.

Kata Abang Johari lagi, kini Sarawak menyasarkan untuk mengeluarkan 240,000 tan beras menjelang 2030.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dan Pengerusi Onemas Agriculture Sdn Bhd Datuk Stephen Sia.

Abang Johari melakukan upacara menanam padi hibrid sebagai simbolik pada Majlis Pelancaran Projek Padi Hibrid dan Kilang Pemprosesan Padi Onemas di Sungai Padi, hari ini.
Abang Johari melakukan upacara menanam padi hibrid sebagai simbolik pada Majlis Pelancaran Projek Padi Hibrid dan Kilang Pemprosesan Padi Onemas di Sungai Padi, hari ini.