News

 

Meradong lembah baharu pengeluaran beras Sarawak

Posted on 16 Jan 2025
Source of News: TVS

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan Meradong dikenal pasti sebagai lembah pengeluaran beras di wilayah ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)
 

BINTANGOR, 16 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan Meradong dikenal pasti sebagai lembah pengeluaran beras di wilayah ini.

Beliau berkata, kawasan tersebut mempunyai tanah gambut yang sesuai untuk penanaman padi dan kerajaan akan memberikan bantuan dari sudut pengairan.

“Masyarakat di sini sememangnya sudah lama berkecimpung dalam aktiviti penanaman padi. Oleh itu, kita berhasrat untuk memgeluarkan lebih banyak beras dan ini turut dipacu oleh sektor swasta.

“Kita akan mengkaji dasar yang akan dikelola dan dipantau oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Menteri M-Ficord) untuk menggalakkan pekebun kecil menanam padi dan kerajaan akan membeli padi yang dikeluarkan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penuaian dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama antara pelbagai pihak seperti UNIMAS dan Onemas Sdn Bhd bakal meningkatkan pengeluaran padi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import dari negara seperti Vietnam, Thailand dan India.

“Kita meminta UNIMAS untuk mengkaji campuran benih hibrid dari China dengan benih kita serta sistem penanamannya untuk meneliti kesesuaian benih.

“Ini mungkin meningkatkan pengeluaram daripada satu tan per hektar kepada sembilan tan per hektar iaitu peningkatan sembilan kali ganda.

“Kita juga akan buat pembungkusan beras yang akan digunakan oleh rakyat Sarawak dan sasaran kita ialah 240,000 tan dan jumlah ini termasuk di Lawas, Limbang, Kuching dan disini (Meradong),” ujarnya. -TVS