News

 

Sarawak perlukan 800,000 pekerja dalam sektor perladangan

Posted on 07 Jan 2025
Source of News: TVS

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata kira-kira 800,000 tenaga pekerja diperlukan dalam insdustri perladangan di Sarawak. Foto TVS
 

KUCHING, 7 Jan: Sarawak kini menghadapi krisis kekurangan tenaga kerja yang serius dalam sektor perladangan dengan keperluan dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya 800,000 pekerja.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, isu ini timbul di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap hasil ladang seperti kelapa sawit yang menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri.

Beliau berkata, jumlah pekerja sedia ada jauh daripada mencukupi untuk menampung keluasan ladang di Sarawak yang kini meliputi kira-kira 1.62 juta hektar.

“Seorang pekerja sepatutnya dapat menghasilkan 1.5 tan sehari. Bayangkan berapa banyak wang dan peluang yang hilang jika kita tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk melakukan kerja penuaian.

“Oleh itu, saya telah mengambil tanggungjawab untuk memastikan perkara ini diambil serius. Tidak ada gunanya memiliki ladang yang sangat baik, hasil yang tinggi dan sebagainya, tetapi pekerja tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sidang media lawatan kerja beliau ke Indonesia di Dewan Konvensyen Hotel Raia di sini, hari ini.

Dengan itu, Dr Rundi memaklumkan langkah proaktif turut diambil untuk menangani isu ini, satu usaha utamanya ialah bekerjasama dengan ejen tenaga kerja dari Indonesia yang merupakan pembekal utama pekerja untuk sektor perladangan di Malaysia.

“Ejen dari Indonesia perlu mempercepatkan urusan seperti mendapatkan visa panggilan dan sebagainya.

”Jika kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan lebih baik, saya percaya kita akan melihat penyelesaian yang lebih baik pada masa depan,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa beberapa pegawai daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah dihantar ke Lombok untuk menemuduga beberapa ratus lagi pekerja.

Katanya, kerajaan turut terbuka kepada idea membawa tenaga pekerja dari Indonesia ke Sarawak. – TVS