MIRI, 1 Nov: Seramai 61 petani dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima bantuan input projek pertanian berjumlah RM304,939 di bawah Program Dana Pembajaaan Pertanian.
Bantuan tersebut melibatkan ketegori sayur dalam jejaring, sayur terbuka, buah-buahan tidak bermusim dan buah-buahan bermusim.
Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin di Pusat Latihan Petani (ILP) di sini, hari ini.
Kim Shin berkata, bantuan tersebut bertujuan membantu petani di kawasan tersebut supaya dapat mengeluarkan lebih banyak hasil daripada tanaman.
“Pekebun ini mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan dan sebahagian daripada mereka menanam nanas. Di kawasan saya, ramai yang menanam nanas.
“Saya juga menasihati mereka untuk menggunakan baja dan alat yang diberikan ini dengan betul bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran hasil tanaman mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, program bantuan tersebut yang bermula sejak 2020 menunjukkan hasil nyata dalam meningkatkan daya tahan ekonomi dalam kalangan pekebun kecil selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber import dan meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan.-TVS