News

 

Penubuhan SAQIS mampu tangani isu bahan makanan tercemar

Posted on 31 Oct 2024
Source of News: TVS

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika dalam ucapan amanat Majlis Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak 2024. Foto TVS
 

KUCHING, 31 Okt: Penubuhan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Sarawak (SAQIS) diyakini mampu menangani isu bahan makanan tercemar yang dibawa masuk ke Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini penubuhan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Periksaan Malaysia (MAQIS) dilihat hanya memberikan tumpuan kepada isu yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, penubuhan jabatan itu penting dalam memastikan kualiti makanan yang diterima dalam kalangan penduduk di Sarawak tidak tercemar dengan bahan kimia dan racun perosak berlebihan

“Malang sekali, ada antara mereka (pembekal) tidak teliti dan tidak bertanggungjawab (dengan) sayur (yang dibawa masuk) menggunakan racun berlebihan dan sebagainya.

“Apabila kita tangkap mereka, kita mengenakan penalti kepada mereka tetapi barang (bahan mentah) telah masuk dan kerana itulah kita memerlukan kuasa SAQIS.

“Kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengurangkan isu ini yang jika tidak dibendung boleh menyebabkan isu kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu anggur import Shine Muscat yang didakwa mempunyai sisa bahan kimia berlebihan.

Dakwan tersebut bermula di Thailand oleh Rangkaian Amaran Racun Perosak Thailand (Thai-PAN), selepas mendapati kebanyakan sampel yang dikumpulkan mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan.

Menurut Dr Rundi, ketika ini isu keselamatan bahan makanan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Beliau turut menyarankan Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan undang-undang yang setimpal untuk menghukum pesalah jika dakwaan tersebut benar.

Terdahulu media tempatan melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyerahkan isu anggur Shine Muscat kepada agnesi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk pengesahan.-TVS