News

 

Meradong bakal jadi pengeluar padi hibrid berkualiti tinggi

Posted on 29 Oct 2024
Source of News: TVS

Datuk Ding Kuong Hiing dan tetamu yang lain semasa majlis agihan Beras Onemas di Bintangor pada Isnin. Foto TVS
 

BINTANGOR, 29 Okt : Hasrat untuk menghasilkan variati padi hibrid bermutu tinggi akhirnya menjadi kenyataan apabila Onemas Agriculture Sdn Bhd menjadi agensi swasta pertama mengeluarkannya di Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek percubaan sejak tahun lalu itu kini menunjukkan hasil yang amat positif.

Kejayaan projek itu katanya, sangat penting bagi membolehkan kewujudan tapak baharu untuk tanaman berkenaan sekali gus memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

“Saya cukup optimis projek ini mampu membawa banyak manfaat ekonomi untuk Daerah Meradong dalam tempoh jangka panjang, ” katanya selepas menyaksikan majlis agihan Beras Onemas di sini pada Isnin.

Majlis ringkas itu diadakan di Kedai Kopi Sungai Padi Bintangor, Rumah Junis, Sungai Kelupu, Rumah Dangat dan Rumah Temaga, Sungai Kawi.

Kuong Hiing berkata, kegigihan Onemas Agriculture Sdn Bhd mengambil pelbagai pendekatan dan langkah mengembangkan usaha penanaman padi di kawasan itu adalah satu langkah baik.

“Saya berasa amat berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Stephen Sia dan pasukan beliau kerana berjaya menghasilkan varieti padi yang baharu di kawasan Sungai Padi Bintangor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Onemas Agriculrure Sdn Bhd, Stephen Sia, berkata, varieti padi hibrid dari China itu boleh ditanam sehingga tiga kali setahun, dengan hasil purata sebanyak 10 hingga 13 tan sehektar.

Katanya, proses semaiannya mengambil masa kira-kira 30 hari dan kemudiannya dipindahkan ke tapak tanaman.

“Sementara itu, proses pendebungaannya mengambil tempoh kira-kira 100 hari sebelum matang dan boleh dituai,” jelasnya. -TVS