News

 

Mesin penuai biji sawit keluaran Sarawak bakal tembusi pasaran antarabangsa

Posted on 14 Oct 2024
Source of News: TVS

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas merasmikan Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) Sarawak hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)
 

KUCHING, 14 Okt: Mesin penuai biji sawit berteknologi baharu keluaran Sarawak Plantation Berhad (SPB) dijangka menembusi pasaran antarabangsa, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, mesin yang diberi nama ‘lipan’ dan ‘kerbau’ itu akan dapat mengurangkan kebergantungan pemain industri terhadap tenaga kerja asing.

“Teknologi asasnya sudah ada, hanya kita yang perlu perbaiki dari segi kecekapannya dan ini mesti dijalankan oleh sebuah syarikat.

“Justeru, kita bawakan sektor swasta seperti SPB dan saya menjemput Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjadi rakan ekuiti dalam syarikat tersebut.

“Kita (Sarawak) menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit di mana pasaran boleh membeli mesin ini kerana kelapa sawit bukan di Malaysia sahaja tetapi di Asia Tenggara termasuk Indonesia dan Afrika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini, hari ini.

Selain itu Abang Johari berkata, mesin berkenaan mampu menuai 1.2 tan kelapa sawit dalam masa dua minit.

Untuk rekod setakat Ogos 2024, Sarawak mencatat jumlah eksport produk sawit sebanyak 3.13 juta tan dengan nilai eksport lebih RM11.02 bilion iaitu peningkatan 13 peratus berbanding RM9.78 bilion pada 2023. – TVS