News

 

Pemerkasaan ilmu, penggunaan teknologi terkini mampu tingkat daya saing bidang pertanian

Posted on 09 Oct 2024
Source of News: TVS

Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menerima cenderamata pada Majlis Makan Malam Sempena Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Kelapa Sawit SALCRA Ulu Sungai Wak, Pakan di Sibu pada Isnin. Foto TVS
 

PAKAN, 9 Okt: Penguasaan terhadap ilmu berkaitan dan penggunaan teknologi perlu diperkasa bagi memastikan Sarawak terus berdaya saing dalam kemajuan ekonomi khususnya sektor pertanian, kata Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.

Menurutnya, rakyat khususnya petani perlu diberi pendedahan terhadap ilmu berkaitan bidang pertanian dan meningkatkan pengetahuan terhadap penggunaan teknologi terkini agar dapat meningkatkan sumber pendapatan lumayan.

“Jika ada tanah (tanaman) , namun hidup miskin pun tidak membawa sebarang keuntungan. Kalau kita lihat dunia luar atau negara lain, mereka memang berjaya dalam sektor pertanian.

“Tidak kira seberapa besar keluasan tanah itu, namun tetap mementingkan kualiti (tanaman) untuk mendapatkan keuntungan. Namun sebaliknya pemikiran itu adalah salah,kita mesti ada teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Kelapa Sawit SALCRA Ulu Sungai Wak, Pakan di Sibu pada Isnin.

Dalam pada itu, Dr. Rundi yang juga Penasihat SALCRA menyeru petani untuk mengambil langkah proaktif untuk memajukan sektor pertanian bagi mendepani cabaran yang bakal dihadapi kelak.

Tambahnya, petani perlu bijak untuk mencari alternatif dan kaedah sesuai dalam mengatasi pelbagai cabaran dalam dunia pertanian.

“Apabila kita bekerja dalam industri ini ( pertanian), kita perlu mempelajari cara untuk menghasilkan tanaman dengan berkualiti tinggi. Pelajari ilmu dan teknik yang berkaitan. Kita perlu belajar untuk memperbaiki diri agar menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Oleh sebab itu, memang tiada cara lain. Justeru, kita juga perlu berkongsi ilmu dan pengetahuan untuk memajukan sektor pertanian ini.

“Aktiviti pertanian yang selalu ada masalah dan kekangan. Contohnya, jika ingin menanam tanaman, benih pula tiada. Apabila kita tahu cara menanam, namun , kurang ilmu pemasaran. Tetapi jika ingin dipasarkan, harga pasaran pula tidak menentu. Oleh sebab itu, kita perlu ada cara penyelesaian yang baharu,” ujarnya.

Terdahulu, Dr. Rundi memaklumkan sebanyak 3,800 hektar tanah di Daerah Pakan yang telah dipersetujui oleh pemilik tanah untuk dibangunkan menjadi projek ladang kelapa sawit di bawah Penubuhan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Projek penanaman kelapa sawit secara komersial itu diharap dapat memberi nafas baharu kepada penduduk kawasan tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben dan ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.-TVS