News

 

Sebanyak 30 gerai pameran dibuka sempena Hari Terbuka Pusat penyelidikan Pertanian Semengok 2024

Posted on 05 Oct 2024
Source of News: TVS

Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat berucap semasa Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat penyelidikan Pertanian Semengok 2024 di Pusat Penyelidikan Pertanian Semengok di Padawan pada Sabtu. Foto TVS
 

PADAWAN, 5 Okt: Penganjuran Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Semengok 2024 adalah satu komitmen dan inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak dalam memperkenalkan fungsi utama serta sumbangan pusat penyelidikan dan pembangunan tanaman, termasuk teknologi dan penyelesaian inovatif di sepanjang rantaian nilai sektor pertanian.

Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat berkata, penganjuran program kali ini melibatkan pembukaan 30 gerai pameran, termasuk gerai penerangan mengenai pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta gerai-gerai jualan pelbagai produk dan hasil pertanian.

Katanya lagi, hari terbuka tahun ini lebih istimewa dari edisi terakhir pada tahun 2014 kerana selain Unit Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Pertanian Semengok pihaknya turut juga menjemput beberapa jabatan dan agensi lain bagi memeriahkan acara selama dua hari ini yang bermula pada 4 Oktober sehingga 5 Oktober 2024.

“Untuk Hari Terbuka tahun ini, terdapat 30 gerai pameran, termasuk gerai maklumat mengenai pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta gerai jualan pelbagai produk dan hasil pertanian.

“Kami turut menjemput beberapa jabatan dan agensi seperti M-FICORD, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Pusat Biodiversiti Sarawak, Pusat Kecemerlangan Teknologi (CENTEX), Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja Sarawak Jabatan Pertanian Malaysia dan beberapa entiti swasta,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Hari Terbuka Pusat Penyelidikan Pertanian Semengok 2024 di Pusat Penyelidikan Pertanian Semengok di Padawan pada Sabtu.

Tambahnya, pengunjung bukan sahaja dibenarkan untuk menyaksikan gerai pameran tetapi turut dapat melawat ke pelbagai makmal penyelidikan dan kilang-kilang tumbuhan yang ada di pusat penyelidikan ini.

Ujarnya lagi, semua pengunjung yang hadir diharap memperoleh pelbagai maklumat dan pengetahuan baharu yang dapat diaplikasikan untuk kegunaan mereka atau tanaman di tempat tinggal mereka. -TVS