News

 

PPNS disaran sewa kapal terbang kargo, eksport komoditi ke luar negara

Posted on 25 Sep 2024
Source of News: TVS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Kota Samarahan, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)
 

KOTA SAMARAHAN, 25 Sept: Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) disaran menyewa kapal terbang kargo untuk tujuan eksport komoditi ke Singapura.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan usaha ini perlu bagi mencapai aspirasi Sarawak ke arah menjadi pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.

“Saya berikan peruntukan kepada PPNS dan terpulang kepada mereka untuk menguruskannya. Kadar sewa mungkin tidak terlalu tinggi.

“Kita lihat dahulu untuk empat bulan, berapa harganya kalau penerbangan pagi sahaja, maknanya satu sektor hantar ke Singapura.

“Kita lihat dahulu sambutan pasaran. Sekiranya berjaya, maka kita akan tambah (penerbangan). Memandangkan kita di pulau, tiada laluan untuk lori maka kita gunakan laluan laut dengan kapal terbang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini hari ini.

Selain memulakan eksport berkenaan ke Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), Abang Johari menambah ia juga boleh diperluaskan ke Brunei dan Pontianak, Indonesia apabila pejabat serupa dibuka di negara-negara berkenaan.

Sarawak kini berada pada tahap defisit imbangan dagangan makanan yakni jumlah import makanan ialah RM6.83 bilion manakala jumlah eksportnya ialah RM1.16 bilion pada tahun 2023. – TVS