News

 

Komersial produk hiliran lada Sarawak, cipta minyak wangi dan kopi

Posted on 17 Jul 2024
Source of News: TVS

Alizawati yang ditemui TVS di gerai jualannya di tapak Sarawak Agrofest 2024 Bintulu. Foto TVS

BINTULU, 17 Julai: Memasuki tahun kelima berkecimpung dalam perniagaan lada Sarawak, Alizawati Abdullah optimis memberi nafas baharu kepada produk hiliran tanaman berkenaan.

Aliza memberitahu kilangnya kini dalam proses kajian dan pembangunan (R&D) untuk mencipta minyak wangi dan kopi berasaskan lada Sarawak. 

“Kita masih baru semoga produk kita keluar lagi dengan banyaknya, insya-Allah. Macam sekarang banyak kopi, scrub, macam-macam ada tongkat ali, ada buah nanas, jadi kita akan buat produk dari lada juga. 

“Insya-Allah kita buat R&D dulu. Sekarang kita buat sabun juga, body scrub, slimming juga, kita akan ke arah yang meningkatkan produk kita hari ke hari,” katanya ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini. 

Selain memikirkan strategi untuk memasarkan produk hiliran lada Sarawak, Aliza turut membantu pemilik ladang lada yang rata-rata merupakan saudaranya sendiri untuk mendapatkan pendapat yang stabil. 

Menurutnya, lada yang dibekalkan bermutu tinggi dari kawasan Pakan dan Sarikei. 

Aliza akan membeli lada-lada tersebut dengan harga 10 peratus atau 15 peratus lebih tinggi dari harga pasaran. 

Bercerita lanjut, Aliza berkata produk lada Sarawaknya yang sudah mempunyai sijil halal berjaya dijual di luar negara melalui rakan-rakan seperti di China, Jerman dan England. 

Aliza juga kerap mengikuti pelbagai ekspo berkaitan yang diadakan tidak kira di dalam mahupun luar wilayah bagi memperkenalkan produknya ke mata dunia. 

Aliza sebelum ini menerima kursus daripada Lembaga Lada Malaysia dan turut menerima bantuan dari segi mesin daripada MARA. – TVS