News

 

Sarawak Agrofest: Penggunaan dron tingkatkan produktiviti pertanian

Posted on 16 Jul 2024
Source of News: TVS

Pengendali dron, Saddiq Rosdi (kiri) dan Awangku Khairul Rahim. Foto TVS

BINTULU, 16 Julai: Penggunaan teknologi seperti dron dalam pertanian dapat meningkatkan produktiviti kerana menjimatkan banyak masa para petani.

Menurut pengendali dron, Saddiq Rosdi sebuah dron dapat digunakan untuk membaja, meracun atau menyiram tanaman berkeluasan satu hektar dalam 10 minit.

“Satu bateri boleh tahan 10 minit dan kita jangkau keluasan satu hektar dalam masa 10 minit dan satu bateri mungkin kita boleh sedia, cas semula dan dengan menggunakan generator dan pengecas yang digunakan satu bateri boleh dicas sepantas lapan hingga sembilan minit sahaja.

“Apabila dron mendarat untuk pengisian semula racun atau baja. Kita boleh tukar bateri baru sambung kerja. Jadi ia menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, penggunaan dron juga akan menjimatkan kos untuk tenaga kerja kerana sebuah dron boleh dikendalikan oleh seorang atau dua orang pekerja untuk satu kerja-kerja semburan di kawasan luas.

Malah ia juga meningkatkan tahap kecekapan kerja kerana ia dikawal dengan menggunakan sistem berkomputer.

Senada dengan Saddiq, Awangku Khairul Rahim yang juga merupakan seorang pengendali dron berkata, dron ini selamat untuk digunakan.

“Dron penyembur racun ini merupakan satu dron yang digunakan untuk membaja atau meracun tanaman di sesuatu tempat. Selalunya digunakan di ladang-ladang seperti pokok-pokok besar, pokok-pokok kecil pun sama.

“Dron penyembur digunakan untuk memudahkan para-para petani. Lebih-lebih lagi dari segi produktiviti kerja. Mist drone ini untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan banyak ciri keselamatan. Ada ground sensor, ada sensor persekitaran supaya nya lebih selamat digunakanlah,” katanya yang juga ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024.

Sementara itu, Saddiq turut berkongsi pandangan bahawa para petani yang hadir ke gerai pameran mereka menunjukkan minat dalam penggunaan teknologi ini.

Ia juga dilihat dapat menarik minat golongan muda menceburi bidang ini.

“Jika kerajaan negeri kita nak beralih kepada penggunaan teknologi seperti ini untuk dalam bidang pertanian, kebanyakan daripada pengunjung bertanya sama ada adakah (subsidi) untuk pembeli dron ini.

“Mungkin itu boleh difikirkan melalui Jabatan Pertanian atau koperasi. Jadi ia mungkin dapat membantu meningkatkan petani-petani kita di Sarawak untuk beralih ke teknologi moden seperti ini,” ujarnya. – TVS