News

 

RM1 bilion diperlukan bangun Selatan Sarawak untuk tanaman padi

Posted on 15 Jul 2024
Source of News: TVS


Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom semasa sidang media. Foto TVS

MIRI, 15 Julai: Kerajaan Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya RM1 bilion bagi membangunkan 3,000 hektar kawasan tanah baharu di bahagian Selatan Sarawak dalam proses menjadikan Sarawak sebagai jelapang padi.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pihak kerajaan dalam proses perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendapatkan peruntukan separuh dari nilai tersebut.

“Jadi kita nak wujudkan Sarawak sebagai jelapang padi. Dengan itu, untuk menyediakan infrastruktur adalah sangat mahal. Setakat ini, Premier telah memperuntukkan RM500 juta. Kita sediakan dana sendiri RM500 juta, dan kita juga berharap mendapat RM500 juta lagi dari Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Kita masih berbincang mengenainya. Kita cuba melihat apa yang boleh kita lakukan. Tetapi untuk membangunkan tanah baharu seluas 3,000 hektar itu di bahagian selatan Sarawak, kita memerlukan tidak kurang daripada RM1 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Seminar Kebangsaan (NATSEM) Ke-16 2024 Peluang Dan Strategi Meningkatkan Keuntungan Perniagaan Kelapa Sawit di sebuah hotel pada Isnin.

Dalam pada itu, kementeriannya juga merancang untuk menyediakan zon khusus atau mewartakan kawasan untuk penanaman padi bagi meningkatkan lebih ramai peladang melibatkan diri dalam tanaman tersebut.

Pihaknya telah membawa cadangan tersebut kepada Kerajaan Sarawak kerana setakat ini, tanaman padi menunjukkan trend menurun berbanding tanaman lain seperti kelapa sawit kerana tidak membawa pulangan yang lumayan.

“Tiada siapa terutama generasi muda yang mahu berjinak-jinak dengan tanaman padi kerana hujan dan matahari. Tetapi juga pulangannya tidak lumayan seperti tanaman lain. Jadi saya telah mencadangkan kepada Kerajaan Sarawak supaya kita dapat sediakan kawasan zon khusus untuk padi. Atau mungkin kita perlu mewartakan kawasan tersebut untuk padi. Ini kerana kebanyakan kawasan padi sekarang dalam trend menurun kerana telah ditukar kepada kelapa sawit dan tanaman lain,” tambahnya.

Seminar ini dijalankan untuk memberi pengetahuan kepada para penanam selain menggalakkan minat umum kepada profesion tersebut dan seramai 850 peserta yang menyertai seminar ini termasuk dari Semenanjung Malaysia. -TVS