News

 

Tarik penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian

Posted on 14 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

Uggah, Rundi serta tetamu lain bergambar kenangan bersama-sama dengan ikon pada Majlis Penangguhan Spaoh Agrofest 2024 di sini, hari ini. - Foto: Osman Razali


SPAOH: Penggunaan teknologi tinggi yang baharu dalam pertanian mampu menarik penglibatan lebih ramai golongan muda dalam sektor pertanian moden ekoran pendapatan lumayan yang dihasilkan.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha menarik golongan itu untuk berkecimpung dalam pertanian moden masih menjadi cabaran besar yang dihadapi sekarang.

Menurutnya, bukan sahaja di wilayah ini, bahkan berlaku di seluruh dunia.

“Ia satu cabaran besar. Namun, saya yakin, apabila mereka mula menyaksikan teknologi tinggi itu dapat menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi, mereka akan tertarik.

“Seterusnya, mereka akan mengikuti perkembangan yang berlaku di dunia kerana dengan teknologi baharu, teknologi tinggi, kita akan melihat ramai daripada golongan muda akan berminat dengan pertanian moden,” katanya.


Uggah menyampaikan hadiah kepada petani berjaya, Jingkoon Jambu. – Foto: Osman Razali


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Spaoh Agrofest 2024 di sini, hari ini.

Berbanding dahulu jelasnya, Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), fertigasi dan hidroponik akan menjadi elemen penting yang memandu pembangunan ekonomi.

“Jabatan Pertanian telah banyak membantu rakyat sepanjang 100 tahun usianya. Kalau kita lihat keadaan di luar bandar, banyak perubahan dan ini menunjukkan kerajaan berjaya menaik taraf kehidupan rakyat ke tahap yang lebih baik.

“Bagaimanapun, kita belum berpuas hati kerana sekarang Sarawak diiktiraf sebagai satu wilayah berpendapatan tinggi. Justeru, kita harus memastikan penduduk Sarawak juga berpeluang meningkatkan pendapatan (tinggi).

“Oleh demikian, Jabatan Pertanian memainkan peranan yang cukup penting terutama dalam transformasi sektor pertanian.

“Dulu kita tidak tahu mengenai IoT, AI, hidroponik, fertigasi, namun sekarang inilah elemen yang akan memandu pembangunan ekonomi dan syukur kita mula menyesuaikan diri dan akan membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat.

“Penduduk mula tahu konsep tanaman hidroponik, fertigasi dan penggunaan benih baharu. Termasuk di sini ramai yang telah berjinak-jinak dengan pertanian moden,” ujarnya.

Fokus Kerajaan Sarawak tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu membasmi kemiskinan.

“Sasaran kita untuk melihat penduduk (khususnya warga tani) mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM6,000 sebulan,” katanya.

Uggah dalam pada itu mengharapkan sikap proaktif Persatuan Peladang Kawasan (PPK) untuk membantu.

“Peranan PPK adalah sebagai satu ‘anchor’ kepada Jabatan Pertanian untuk membantu petani, nelayan, seterusnya memodenkan pertanian.

“Kerana jika seseorang petani untuk membeli mesin memang agak terlalu mahal, namun jika diusahakan oleh PPK bermula dari mesin untuk menanam, menuai, memproses, mengering dan sebagainya, ia lebih senang untuk mereka menggunakan teknologi kerana faktor skala ekonomi. Jadi, di situ kita berharap perubahan yang besar,” tambahnya.

Uggah yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) menyatakan di bawah agensi itu telah diperuntukkan RM265 juta untuk memperkasakan aktiviti ekonomi

Katanya, ia termasuk membina jalan ladang, mengatur program pertanian moden, penternakan, penamanan, industri kraf dan industri makanan di seluruh Bahagian Betong.

Pada majlis tersebut menyaksikan Winest Tom dan Stephen Bansa Baking dinobatkan sebagai Ikon Penternak Jaya, sementara Siti Hassmahnor Samsudin dipilih sebagai Ikon Usahawan Jaya.

Manakala Jingkoon Jambu diiktiraf sebagai Ikon Petani Jaya.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben, Penasihat di Jabatan Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Michael Mawan Ikom, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Sirai Daha dan Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas turut hadir sama.