News

 

Lengkapkan infrastruktur pertanian di Sarawak

Posted on 14 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

STEPHEN RUNDI UTOM

 
SPAOH: Peruntukan RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan penting untuk melengkapkan infrastruktur pertanian terutama skim saliran tanaman padi di wilayah ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, wilayah ini memerlukan RM1 bilion untuk tujuan tersebut.

“Peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan belum datang, maka Premier Sarawak luluskan dulu peruntukan sebanyak RM500 juta.

“Ini memandangkan peruntukan yang mencukupi penting untuk menjayakan tanaman padi di wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penangguhan Spaoh Agrofest 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.

Jelasnya, setiap bahagian diagihkan dengan peruntukan daripada kementerian dan Jabatan Pertanian untuk memperhebat aktiviti pertanian.

“Bagaimanapun tidak mencukupi. Namun di sini (Betong) melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) ada peruntukan yang dapat disalurkan untuk menambah ekonomi.

“Misalnya sebanyak RM265 juta untuk memperkasakan aktiviti ekonomi di bawah BDDA. Ia termasuk membina jalan ladang, mengatur program pertanian moden, penternakan, penamanan, industri kraf dan industri makanan di seluruh Bahagian Betong,” ujarnya.

Rundi menambah, anjakan dalam sektor pertanian secara langsung membasmi kemiskinan.

“Sekarang tidak boleh bergantung kepada tulang empat kerat lagi, sebaliknya kepada teknologi baharu – menggunakan Internet of Things (IoT) dan sebagainya, termasuk peralatan baharu.

“Tentang kesesuaian tanah kita tidak perlu khuatir lagi memandangkan sudah ada teknologi seperti rumah hijau.

“Justeru, kalau mahu mudah, kita harus ada ilmu…guna pakai ilmu baharu, cari tempat yang maju, ikut seperti di Taiwan, Australia, New Zealand dan sebagainya,” tegasnya.