News

 

Sarawak Agrofest: Penat lelah berbaloi, petani gembira selepas dapat hasil

Posted on 14 Jul 2024
Source of News: TVS


Antara pelanggan yang berkunjung ke gerai pameran Julia Alie di Sarawak Agrofest 2024. Foto Salasiah Safian (TVS)

BINTULU, 14 Julai: Idea untuk menjadikan kawasan tanah kebun seluas 15 ekar dengan  menanam pelbagai jenis benih pokok buah-buahan bersama suaminya berbaloi bagi seorang petani, Julia Anie selepas mula mendapat hasil, biarpun berasa penat lelah pada mulanya.

Julia yang sudah lebih 28 tahun berkecimpung dalam bidang pertanian berkata, selain hanya mengusahakan kebun untuk keluarga, idea untuk menjadikannya sebagai perniagaan timbul dengan menjual pelbagai jenis benih pokok buah-buahan.

Menurutnya, benih-benih berkenaan akan disemai terlebih dahulu sebelum dijual kepada pelanggan, malah program seperti Sarawak Agrofest ibarat peluang keemasan bagi dirinya dan suami kerana mereka mampu meraih jualan ribuan ringgit dalam masa satu hari.

“Hasil dia tidak tentu, contoh kalau pelanggan banyak macam ini. Ia satu peluang dan saya sangat-sangat suka. Sangat-sangat bagus peluang macam ini kerana pada masa ini kami dapat pendapatan yang lebih. Kalau macam secara biasa, jual dagang biasa, itu boleh juga tapi ada kurang sikit. Ini kesempatan orang ramai dan sambutan sangat bagus. Memang lumayan.

“Saya akan ikut serta mana-mana program seperti ini. Contoh di Pakan pun saya ada ikut. Ya, bersyukur sangat memang ada reseki. Tidak dinafikan, memang ada. Kalau satu hari kalau macam pelanggan ramai, memang akan dapat hasil ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024 di Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya apakah pendapatnya jika kerajaan menghulurkan bantuan untuk dirinya beralih ke arah pertanian moden… Julia teruja dan sangat mengalu-alukan bantuan tersebut.

Tambahnya, ia akan mengurangkan beban yang ditanggung untuk mengusaha kebunnya.

“Itu sangat baguslah, sangat suka sebab kalau bantuan dari kerajaan, mungkin beban saya lebih ringan daripada macam beli racun, dan juga baja. Sangat-sangat suka. Beban saya tidak berat sangatlah,” ujarnya lagi yang kelihatan sudah bersedia ke arah pertanian moden.

Julia menjual pelbagai jenis benih pokok buah-buahan seperti rambutan, longan, cempedak, durian, jambu, limau dan lain-lain. – TVS