News

 

Petani dinasihat elak ‘herd mentality’, jadi inovatif – Stephen Rundi

Posted on 13 Jul 2024
Source of News: TVS

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Stephen Rundi Utom ketika ditemui TVS di Sarawak Agrofest 2024. Foto TVS
 

BINTULU, 13 Julai: Dilahirkan daripada keluarga petani, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menasihatkan agar golongan petani tidak bersikap ‘herd mentality’.

Menurutnya sikap yang menyebabkan seseorang individu mudah terpengaruh pada kelompok lain itu wajar ditepis oleh golongan petani yang ingin memperoleh kejayaan serta membuahkan keuntungan daripada tanaman mereka.

“Jadi kita tidak mahu ‘herd mentality’ lagi. Kita mahukan seseorang yang dapat memberikan cara baru yang lebih menguntungkan, lebih inovatif dan lebih berpotensi untuk dipasarkan.

“Latar belakang keluarga saya, ibu bapa saya merupakan petani tetapi saya tidak melihat ada pembangunan yang positif, memberi impak atau mereka sentiasa mempunyai ‘herd mentality’ lah. Kalau saudara sudah buat begitu, saudara mereka ikut sahaja. Jadi sekarang kita mahu apabila kita gunakan cara untung dan rugi kita tahu tahun ini berapa kita kerja, setiap titik peluh seharusnya berbaloi. Itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di tapak Sarawak Agrofest 2024 di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Jumaat.

Sementara itu menyentuh mengenai penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian, katanya ramai di antara mereka yang sudah mula menunjukkan minat.

“Sebenarnya, itulah tujuan kita yang kita anggapkan paling penting untuk kita mendapat menarik minat orang orang generasi muda untuk bertani. Untuk bukan bertani secara sara diri tetapi untuk menganggap itu satu profesion, karier dan juga satu dalam bentuk komersial.

“Bererti kita mahu bahawa orang muda ini bukan sahaja dia cergas dan sebagainya, tetapi dia juga boleh menerima latihan daripada universiti dan sebagainya. Saya melihat dari sudut beberapa banyak sudah jurutera tidak meneruskan karier tetapi dia mahu bertani. Jadi tugas kita untuk menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan supaya kondusif, untuk mereka senang, dan selesa menjalankan aktiviti pertanian,” ujarnya lagi. – TVS