News

 

Sarawak Agrofest platform dedah petani kepada teknologi baharu

Posted on 16 Jul 2024
Source of News: TVS

Penganjuran Sarawak Agrofest dapat dijadikan sebagai platform untuk mendedah para petani kepada teknologi baharu. Foto TVS

BINTULU, 13 Julai: Penganjuran Sarawak Agrofest menjadi platform mendedahkan petani kepada teknologi baharu, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata, teknologi baharu diperkenal kepada golongan petani untuk membuka minda demi pembangunan sosioekonomi golongan tersebut.

“Memang sudah pasti kita memerlukan teknologi baharu, kita memerlukan cara baharu, pemikiran baharu, jadi melalui platform Agrofest adalah diharapkan supaya kita dapat memberikan maklumat ini kepada orang ramai.

“Tujuan kita untuk mendekati petani-petani yang memerlukan maklumat jadi kita membawakan 226 gerai pameran bagi semua para pengusaha mengetengahkan produk masing masing. Jadi daripada itu, saya harap orang ramai terutamanya petani dapat melihat sendiri mereka yang telah pun berjaya,” katanya ketika ditemui TVS di tapak Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, untuk memberi motivasi kepada golongan muda yang baharu berjinak dalam bidang pertanian pihaknya turut memberikan beberapa anugerah kepada petani yang berjaya, penerima anugerah ini kelak akan dapat menjadi ikon di setiap bahagian.

“Terutamanya dari segi Anugerah PPK Jaya, Anugerah Peladang Jaya, Anugerah Peladang Nita Jaya, Peladang dari Segi Tani (AIT), Peladang Penternak Ikan Jaya, Penternak Jaya, Ruminan dari segi Lembu dan juga Kerbau, Ruminan dari segi Khinzir, Ruminan dari segi Unggas.

“Jadi ada juga kategori petani yang cemerlang. Kenapa kita perlu beri insentif dan juga penghargaan ini, supaya orang lain akan melihat bahawa ada yang boleh berjaya dalam bidang pertanian. Kita berharap dapat bentuk banyak lagi pengusaha pertanian,” ujarnya lagi.

Katanya, bagi meneruskan lagi usaha ini, Agrofest telah diadakan di beberapa tempat seperti di Limbang, Gedong, Sebauh dan akan datang di Spaoh. – TVS