News

 

Industri makanan bukan sekadar untuk sara diri, tetapi perniagaan: Dr Rundi

Posted on 16 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online
Dr Rundi berucap pada perasmian Sarawak Agrofest 2024 bermula 12 hingga 22 Julai di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu hari ini.
Dr Rundi berucap pada perasmian Sarawak Agrofest 2024 bermula 12 hingga 22 Julai di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu hari ini.

BINTULU: Sarawak akan membentuk industri makanan dalam sektor pertanian bukan hanya sebagai sara hidup tetapi perniagaan yang dapat memajukan golongan petani terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pertanian hari ini tidak harus dilihat hanya berkenaan sara hidup, kais pagi makan pagi, kais petang makan peting tetapi ia berkenaan perniagaan dan sebagainya.

Katanya, Sarawak melihat negara-negara yang maju dalam bidang pertanian sebagai penanda aras untuk wilayah ini lebih menumpu kepada bidang yang sama, tidak hanya sektor pembuatan, minyak dan gas.

"Pertanian tiang utama yang banyak memberi hasil sejak bertahun, namun harus diperkasa dengan mengadaptasi teknologi baharu dan perubahan minda masyarakat tani," ujarnya dalam ucapan aluan pada perasmian Sarawak Agrofest 2024 bermula 12 hingga 22 Julai di Lasar Kenyalang Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini hari ini.

Beliau berkata, di Sarawak petani dilihat sebagai golongan susah, tetapi di negara maju, petani lebih maju dalam bidang pertanian contohnya di New Zealand, Finland, Australia dan Eropah.

"Sekarang mereka tidak melihat saiz tanah tetapi pengeluaran, produktiviti dan kualitinya supaya hasilnya memadai dengan usaha dibuat yang bererti kita juga perlu ubah cara berfikir," katanya sambil menambah cara lama akan mengekalkan petani di takuk lama.

Dr Rundi yang juga Pengerusi Sarawak Agrofest 2024 berkata, untuk mendedahkan petani cara dan pemikiran baharu, bukan sahaja untung dan rugi yang harus diambil kira, tetapi keterjaminan makanan.

"Antaranya, kita harus memperkasakan penanaman padi supaya mendapat pulangan yang baik serta saintis-saintis telah banyak membuat penyelidikan berkenaan dengannya seperti di China, Jepun dan Korea.

"Orang yang perlu kita ubah adalah masyarakat tani yang tinggal di luar bandar yang tergolong dalam B40, menarik minat pemuda lebih berpengetahuan, terlatih dan mampu menjadi petani dengan menganggap petani sebagai satu kerjaya," katanya.

Begitupun katanya, adalah penting untuk menyeediakan infrastrtuktur sempurna, guna Internet Benda (IoT) dan pertanian digital supaya usaha itu dilihat sebagai satu pelaburan kewangan yang dapat membantu.

"Ujarnya, banyak program lepas kita adakan, kita biarkan dengan mengharap orang ramai dapat mengikutinya namun akhirnya tidak menjadi seperti apa yang berlaku pada hari ini.

"Apa yang perlu kita lakukan dalam bekalan rantaian, benih-benih, penyelidikan, pengeluaran, industri hiliran dan huluan dan pemasaran, kerana jika tidak apa yang berlaku sekarang ia akan terhenti di tengah jalan," jelasnya sambil berharap Sarawak dapat mempertingkatkan keterjaminan makanan dalam sektor penanaman padi supaya tidak terlalu bergantung kepada import.

Katanya, para petani juga tidak harus bergantung kepada satu tanaman sebaliknya mempelbagaikannya serta yang penting adalah pasarannya dan perlu bekerjasama dengan pemain-pemain besar.