News

 

Sektor pertanian sumbang RM14 bilion kepada KDNK Sarawak pada 2022 – Abang Johari

Posted on 12 Jul 2024
Source of News: TVS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini. Foto, TVS.
 

BINTULU, 12 Julai: Sektor pertanian menyumbang sebanyak RM14 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak pada 2022.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini menunjukkan sektor tersebut memainkan peranan penting kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

Jelas Abang Johari sumbangan berkenaan mewakili 10.4 peratus keseluruhan KDNK Sarawak pada tahun berkenaan dan merupakan antara yang terbesar selepas perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan kuari.

“(Berdasarkan) sumbangan ini dan latar belakang sumber tanah yang dimiliki oleh Sarawak (selain) sumber manusia, kita perlu melakukan reformasi untuk membangunkan sektor makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Berhubung pengiktirafan sebagai negeri berpendapatan tinggi buat kali kedua berturut- turut oleh Bank Dunia baru – baru ini, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan menterjemahkannya kepada pendapatan keluarga yang tinggi.

“Salah satu caranya adalah dengan mempertingkatkan sektor ekonomi luar bandar melalui sektor pertanian.

“Sebab itu Datuk Seri Stephen Rundi Utom dan rakan-rakan dalam kabinet akan bekerjasama untuk melengkapkan komponen-komponen yang diperlukan untuk kita menaikkan sumbangan ekonomi luar bandar melalui sektor pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan pelbagai pakar untuk mewujudkan ekosistem yang mampu mempercepatkan pembangunan sektor pertanian.

Sarawak Agrofest 2024 diadakan di Lapangan Terbang Lama Bintulu bermula 12 hingga 22 Julai 2024. – TVS