News

 

Kawasan seluas 326 ekar di Kuala Baram perintis bagi konsep perumahan pintar dan pertanian bandar

Posted on 11 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari (dua kanan) dibawa melawat ke tapak penghasilan sumber pertanian di kawasan tersebut.
Abang Johari (dua kanan) dibawa melawat ke tapak penghasilan sumber pertanian di kawasan tersebut.

MIRI: Kawasan seluas 326 ekar di Kuala Baram menjadi projek perintis di Sarawak bagi konsep pembangunan perumahan pintar baharu yang turut memperkenalkan pertanian bandar menggunakan teknologi terkini termasuk Internet Benda (IoT) dan pertanian rumah hijau. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah satu pendekatan baharu yang kerajaan cuba laksanakan di kawasan itu dan sekiranya berjaya, ia akan diperluaskan di kawasan-kawasan lain di Sarawak termasuk luar bandar. 

“Ini merupakan kali pertama dilaksanakan, membina penempatan pintar dengan adanya kawasan perumahan dan komersial dan di sebelahnya adalah kawasan untuk pertanian pintar bandar. 

“Pembeli, pemilik rumah mampu milik (di kawasan ini) juga boleh menyertai pertanian pintar bandar menggunakan teknologi terkini termasuk IoT dan juga pertanian rumah hijau. 

“Ia mempunyai satu blok iaitu kawasan seluas lebih 30 ekar khusus untuk pertanian pintar dan penghuni yang tinggal di kawasan ini boleh mengambil bahagian bersama-sama dengan syarikat Simfoni (Simfoni Strategi Sdn Bhd) untuk menghasilkan buah-buahan bernilai tinggi di kawasan sama,” ujarnya.

Abang Johari (tengah) teruja melihat buah-buahan segar yang dihasilkan di tapak projek pertanian pintar tersebut.
Abang Johari (tengah) teruja melihat buah-buahan segar yang dihasilkan di tapak projek pertanian pintar tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media ketika mengadakan lawatan tapak projek pertanian pintar di Kuala Baram petang Khamis. 

Hadir sama, Pengarah Urusan Simfoni Strategi Sdn Bhd Dato Hii King Chiong, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Datu Sr Zaidi Mahdi. 

Abang Johari menjelaskan, projek pembangunan itu yang dilaksanakan antara LCDA dan Simfoni Strategi Sdn Bhd merupakan peluang untuk menggalakkan pertanian pintar menggunakan teknologi yang menghasilkan keterjaminan makanan dari sudut buah-buahan yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran dalam mahupun pasaran luar negara. 

“Apa yang saya maksudkan di sini ialah kita ingin memulakan pendekatan baharu dalam skim perumahan baharu kita, bermakna anda mempunyai kawasan khusus untuk pertanian. 

“Projek ini akan menjadi perintis untuk kita jadikan contoh dalam skim perumahan yang lain untuk membantu rakyat kita menggunakan pendekatan ini, terutamanya B40 agar menjadi suatu pendapatan tambahan kepada mereka,” ujarnya. 

Abang Johari (dua kanan) teruja melihat buah-buahan segar yang dihasilkan di tapak projek pertanian pintar tersebut.
Abang Johari (dua kanan) teruja melihat buah-buahan segar yang dihasilkan di tapak projek pertanian pintar tersebut.

Sementara itu, Abang Johari berkongsi bahawa pendekatan baharu itu juga beliau telah lihat sendiri keberhasilannya di Jepun dan Taiwan. 

“Apa yang mereka buat adalah dengan hanya menggunakan sebidang tanah, dekat dengan rumah, kecil, tetapi mereka mampu menghasilkan buah-buah yang mempunyai penghasilan tinggi dari segi harganya,” jelasnya.