News

 

Manfaatkan kenaikan harga lada tempatan dengan menambah keluasan tanaman lada sedia ada

Posted on 01 Jul 2024
Source of News: Suara Sarawak

Foong Hin (kiri) merakam kenangan semasa lawatan ke kebun lada milik Tuai Rumah Sait Jaya.
 

BINTULU: Pekebun lada dinasihatkan untuk memanfaatkan peningkatan harga semasa komoditi itu dengan menambah keluasan tanaman lada sedia ada.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata ia bagi menampung permintaan terhadap lada Malaysia yang semakin meningkat dewasa ini.

Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan penggiat industri lada, terutamanya dalam kalangan pekebun lada, menerima impak yang signifikan daripada beberapa cabaran yang dihadapi akibat faktor perubahan cuaca yang ekstrem dan peningkatan harga input pertanian.

Namun, katanya, di sebalik cabaran yang dihadapi, pihak Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) sentiasa berusaha untuk memastikan setiap strategi dan hala tuju yang dirangka adalah komprehensif dan merangkumi semua peringkat dalam sektor lada.


Foong Hin (tiga kiri) merakam kenangan bersama peserta lain semasa lawatan ke kebun lada milik Tuai Rumah Sait Jaya.

“Lada Malaysia, atau lebih dikenali sebagai lada Sarawak, hingga kini masih mendapat tempat dan permintaan yang tinggi daripada syarikat-syarikat luar negara, seperti dari Jepun, Sweden, China dan Korea Selatan, kerana kualiti lada tempatan yang terjamin dan berkualiti tinggi.

“Tambahan pula, purata harga lada tempatan menunjukkan peningkatan yang berterusan bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2024,” kata Foong Hin.

“Peningkatan harga komoditi ini adalah satu perkembangan positif bagi pekebun kecil lada tempatan.”

Beliau berkata ke arah menjayakan usaha tersebut, KPK melalui MPB giat mempromosi kaedah penanaman lada mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP) dalam setiap sesi latihan ‘in-situ’ yang dilaksanakan di lapangan

“Promosi ini bertujuan ke arah usaha memperluaskan skim pensijilan MyGAP kepada kebun–kebun lada di seluruh Malaysia bagi mengukuhkan lagi penerimaan pasaran terhadap produk lada keluaran Malaysia,” tambahnya.

Foong Hin berkata demikian semasa ditemui selepas menyantuni dua pekebun lada aktif di kawasan Bintulu, iaitu Tuai Rumah Sait Jaya dan Benson Timboo, sempena lawatan kerja ke Bintulu pada hari ini.

Semasa lawatan ke kebun lada milik Sait dan Benson, beliau turut meluangkan masa berbual bersama pekebun serta menyelami isu dan cabaran yang dihadapi dalam mengusahakan tanaman lada.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu memaklumkan hingga Jun tahun ini,
terdapat seramai 1,248 pekebun lada aktif di Bahagian Bintulu dengan keluasan tanaman lada berjumlah 209.90 hektar.

“Seperti mana di kawasan lain, pengusaha tanaman lada di kawasan Bintulu turut menikmati manfaat daripada penyaluran Skim Bantuan Tanaman Lada yang diberikan oleh kerajaan,”ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bermula dari 2021 hingga Mei 2024, anggaran nilai bantuan di bawah Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) berjumlah RM971,232 telah dinikmati seramai 152 penerima yang mengusahakan tanaman lada dengan keluasan 25.9 hektar.

Dalam tempoh sama, seramai 398 penerima telah memperoleh manfaat daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM) berjumlah RM1,067,500 dengan keluasan berjumlah 64.3 hektar, kata Foong Hin.

Lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi itu dilihat mampu mengukuhkan lagi sinergi di antara Kementerian Perladangan dan Komoditi dengan MPB, sekaligus menggalakkan interaksi secara langsung dengan penggiat industri lada sejajar dengan usaha ke arah pembangunan sektor agrikomoditi lada yang stabil, berdaya saing dan mampan.