News

 

Subsidi beras putih import bagi Sabah, Sarawak, Labuan dijangka cecah hampir RM500 juta

Posted on 27 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo
Armizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.-Gambar BERNAMA
Armizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.-Gambar BERNAMA
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan subsidi beras import kepada Sabah, Sarawak dan Labuan mencecah hampir RM500 juta tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagi tempoh Oktober hingga Disember 2023, kerajaan telah memperuntukkan RM92.84 juta bagi subsidi barangan keperluan asas itu.

Selain itu, beliau berkata bagi subsidi telur, sebanyak RM96 juta diperuntukkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan tahun lepas dan anggaran peruntukan RM3.6 bilion tahun ini bagi pemberian subsidi diesel di stesen-stesen minyak dan subsidi diesel nelayan di ketiga-tiga negeri berkenaan.

 Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan ketika menjawab soalan Lo Su Fui (GRS-Tawau), yang ingin tahu perancangan untuk menyeragamkan harga barangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak serta mekanisme menangani masalah penyeludupan barangan keperluan bersubsidi.

Mengenai penyeludupan barangan keperluan bersubsidi, Armizan berkata kerajaan sentiasa komited dalam menangani isu itu terutamanya melibatkan barang kawalan dan bersubsidi di kawasan sempadan negara.- BERNAMA