News

 

Terapkan konsep ladang kontrak bagi penanaman pokok RT – Paulownia untuk tujuan komersial

Posted on 01 Apr 2024
Source of News: TVS

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan ke Tsg Green Nursery And Research Centre Di Kota Samarahan tari ini. Foto TVS
 

KOTA SAMARAHAN, 30 Mac: Konsep ladang kontrak disaran untuk dilaksanakan dalam penanaman dan penjagaan pokok RT – Paulownia bagi memastikan ia mampu mencapai skala lebih besar untuk dikomersialkan secara meluas.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, konsep tersebut akan memudahkan pakar-pakar dibawa menjaga dan merawat tanah serta tanaman bagi menjamin kadar keberhasilan lebih tinggi.


Orang ramai digalakkan untuk mempelajari pokok RT – Paulownia.

Katanya, menerusi konsep ladang kontrak, orang awam bukan sahaja mampu mendapat latihan serta pengetahuan cara pengendalian tanaman pokok RT – Paulownia malah penghasilan secara besar-besaran untuk tujuan komersial akan dapat dicapai.

“Mungkin anda boleh membuat secara ladang kontrak dan dari situ penyelidikan dan pembangunan(R&D) dan seterusnya mereka yang pakar boleh membangunkan kawasan-kawasan lain juga dan mereka menjadi orang tengah kepada ladang penanaman.

“Contohnya mereka di Kanowit daripada menanam mereka boleh dilatih dan juga diberi pengetahuan untuk menanam pokok ini sebab potensinya ada tetapi tidak boleh dilakukan secara kecil-kecilan ia perlu dalam skala besar sehingga pada tahap pengkomersilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan  ke Tsg Green Nursery And Research Centre di sini, hari ini.

Rundi berkata, penggunaan konsep tersebut juga membolehkan agensi atau badan korporat atau individu untuk mempelajari keadah penanaman dan penjagaan spesis pokok RT – Paulownia yang berpotensi menjadi salah satu bahan penting dalam industri perkayuan di dunia.

Katanya, pokok tersebut mempunyai proses penanaman dan penjagaan yang sangat rumit namun memiliki tahap pertumbuhan yang cepat berbanding pokok-pokok lain.

Pokok tersebut boleh dituai dalam tempoh tiga tahun selepas ditanam dan dapat digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk pemuliharaan semula hutan, sisa kumbahan, pengurangan penggunaan tenaga, dan juga untuk industri perkayuan.

Setakat ini Tsg Green Nursery And Research Centre Kota Samarahan telah menanam sebanyak 4,316 pokok di kawasan tanah yang berkeluasan 24 ekar. -TVS