picture

News

 

Dewan Negara: RM8.8 juta diluluskan bantu petani terkesan MTL

Posted on 18 Mar 2024
Source of News: TVS


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM8.88 juta melalui Tabung Bencana Pertanian untuk membantu yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL). Foto hiasan, Envato.
 

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan peruntukan berjumlah RM8.88 juta melalui Tabung Bencana Pertanian untuk membantu petani yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif berkenaan telah memanfaatkan seramai 2,477 golongan agro makanan yang terjejas banjir bermula 11 November 2023 sehingga 3 Januari 2024.

Jelas beliau, jumlah kerugian yang dianggarkan akibat bencana banjir itu sebanyak RM24.09 juta membabitkan jumlah keluasan tanaman 5,154.68 hektar.

“Selain itu, Agro Bank turut menawarkan Pelan Bantuan Banjir bagi pelanggan-pelanggan sedia ada yang terkesan akibat bencana MTL.

“Pelan bantuan tersebut merupakan pelan bantuan pembayaran yang melibatkan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan serta tawaran moratorium sehingga enam bulan khususnya untuk pelanggan bank yang layak,” katanya ketika Sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Teo Eng Tee yang bertanya adakah KPKM telah mengenalpasti golongan petani yang terjejas akibat bencana MTL di seluruh negara dan berapa peruntukan yang telah diluluskan.

Jelasnya, pada 2023 seramai 185 individu telah diberi moratorium dengan jumlah keseluruhan bernilai RM22.76 juta.

“KPKM terus komited membantu golongan Agro Makanan yang terjejas sehingga pulih sekali gus mampu mengoperasikan semula aktiviti-aktiviti pertanian yang diusahakan oleh mereka,” ujarnya lagi. -TVS