News

 

RISDA Peruntuk RM5.5 Juta, Laksana Program Pembangunan Di Kapit

Posted on 14 Dec 2023
Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



 

KAPIT: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperuntukkan sebanyak RM5.5 juta untuk melaksanakan beberapa program pembangunan di Bahagian Kapit sepanjang tahun 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang berkata, RISDA pada masa ini lebih menfokuskan bantuan tanam semula getah melalui Program Tanam Semula Getah ke Getah (TSGG) dan Program Sokongan dan Bekalan Input Pertanian.

Ia juga meliputi bagi Program Bantuan Tanam Semula, Program Produktiviti Pemasaran, Program Pembangunan Usahawan, Program Agromakanan dan Program Pengembangan yang bertujuan meningkatkan pendapat pekebun kecil getah di Kapit.

Semasa merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur di Rumah Juin Lepong Balleh pada Rabu, beliau turut menggesa penduduk yang mengusahakan tanaman getah untuk lebih proaktif dan jujur dalam memastikan hasil getah mereka menepati standard yang dikehendaki oleh pasaran semasa.

Pasa majlis sama, Pegawai RISDA Bahagian Kapit, Mensan Belayong memberitahu bahawa agensi itu sudah bertapak di Kapit sejak tahun 2011 dan telah berjaya mengusahakan tanah seluas 2,075.78 hektar untuk program pembangunan yang melibatkan 1,103 pekebun kecil di Bahagian Kapit.

Bagi tahun ini menurutnya lagi, 300 orang pekebun kecil telah menyertai program tanaman semula melibatkan keluasan 450 hektar kawasan penanaman getah di sekitar Kapit, Song, Sungai Asap dan Belaga.-EDISI UKAS