KUCHING, 19 Nov: Kerajaan Sarawak merancang untuk memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan luar bandar dengan menumpukan pada produktiviti berteraskan teknologi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyasarkan peningkatan tahap sara diri beras (SSL) dari 32 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030.
Inisiatif ini katanya melibatkan peruntukan RM50 juta untuk 2024, sebahagian daripada pelaburan RM1 bilion untuk infrastruktur dan program berkaitan.
“Fokus kami adalah kepada amalan pertanian moden untuk mengoptimumkan penggunaan tanah, disokong oleh penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Pembinaan Kompleks Taman Teknologi Agro Sarawak (SARTECH) di Semenggoh dan Tarat akan memacu inovasi pertanian, memastikan rantaian nilai lengkap dari pengeluaran ke pasaran,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Kerajaan Sarawak katanya kini memperluas pelbagai usaha dalam sektor pertanian dengan memberi tumpuan kepada tanaman seperti kelapa, nanas, pisang, dan durian, serta merancang penubuhan sekolah perubatan veterinar.
Langkah ini bertujuan untuk merangsang perubahan besar dalam pertanian Sarawak, yang penting untuk pembangunan luar bandar, terutama bagi komuniti B40.
Antara lain jelas Dr Rundi, kerajaan menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah kepada RM15,000 setahun, melebihi sasaran RM6,000 di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Transformasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi di Malaysia memerlukan pertumbuhan inklusif.
“Kita mempunyai sumber kewangan, tetapi pembangunan modal insan amat penting. Golongan muda perlu dilatih dalam pertanian moden untuk memaksimumkan hasil dan memastikan masa depan yang mampan,” tambah Dr Rundi -TVS