News

 

Penubuhan SAQIS di peringkat akhir penyediaan dokumen: Dr Rundi

Posted on 19 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo
Dr Rundi menunjukkan teks ucapan penggulungan bagi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Chimon Upon
Dr Rundi menunjukkan teks ucapan penggulungan bagi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan DUN hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah kini berada di peringkat akhir penyediaan dokumen yang diperlukan untuk penubuhan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Sarawak (SAQIS).

Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi, berkata ini termasuk draf ordinan yang akan menjadi asas kepada operasi SAQIS.

“Matlamat kita adalah untuk mendapatkan kelulusan bagi jabatan ini tahun depan.

“(Dan) kita harap ordinan tersebut dapat dibahaskan di Dewan yang mulia ini pada tempoh yang sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dr Rundi memberitahu, penubuhan SAQIS merupakan pendekatan penting yang sedang diambil oleh kementeriannya untuk meningkatkan langkah-langkah biosekuriti bagi mencegah penyebaran perosak dan penyakit asing ke Sarawak.

Sebelum ini, Dr Rundi berkata, Kerajaan Sarawak memerlukan penubuhan SAQIS bagi meningkatkan keselamatan biosekuriti dalam melindungi kesihatan awam.

Katanya, jabatan yang dicadangkan itu berperanan sama seperti Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Semenanjung.

“Keselamatan makanan bahagian yang perlu diberi tumpuan kerana apabila kita mempunyai penguatkuasaan undang-undang, kita juga dapat mengawal import dan eksport sesuatu produk itu.

“Sekiranya import makanan atau produk itu tidak terkawal, maka akan berlaku kes seperti anggur import jenis ‘Shine Muscat’ yang dikatakan mengandungi sisa kimia berbahaya.

“Justeru, kita di pihak kerajaan negeri amat memerlukan SAQIS supaya produk yang datang di sini dapat diperiksa serta dikuarantin terlebih dahulu sebelum dipastikan selamat untuk pengguna,” katanya semasa Sambutan Hari Integriti Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) 2024 pada 31 Oktober lalu.

oleh Marlinda Mardzuki