News

 

Syarikat swasta berminat tanam padi hibrid diarah patuhi prosedur dan peraturan DOA

Posted on 20 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Syarikat swasta yang berminat dalam penanaman padi hibrid diarahkan untuk mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pertanian (DOA) Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ini termasuk prosedur pengimportan yang betul untuk memastikan varieti hibrid ditanam hanya di kawasan yang ditetapkan.

“Perkara ini bagi mengelakkan pendebungaan silang antara varieti hibrid dan padi tradisional.

“Penanaman padi hibrid ini merupakan salah satu strategi untuk meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak berikutan potensi prestasi hasilnya 15 hingga 25 peratus lebih tinggi berbanding varieti inbred.

“Justeru, DOA akan terus menyokong dan memudahkan mana-mana sektor swasta yang berminat untuk melibatkan diri dan melabur dalam penanaman varieti hibrid di Sarawak,” katanya.

Dr Rundi berkata demikian pada ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menambah, terdapat tiga sektor swasta yang telah menunjukkan minat untuk menceburi bidang penanaman padi hibrid berkenaan.

Tiga kawasan yang dikenal pasti untuk tujuan tersebut adalah di Lubok Punggor dan Lubok Teranggas di Samarahan, Spaoh di Betong dan Meradong di Sarikei.

Malah, dilaporkan bahawa prestasi hasil percubaan padi hibrid pertama di Meradong adalah melebihi 11 tan metrik sehektar, tambahnya.

Percubaan kedua yang dimulakan pada September 2024 dijangka dituai pada Disember tahun ini.

Pertumbuhan dan hasil penanaman varieti hibrid akan dipantau rapi oleh DOA dan prestasi hanya boleh disahkan selepas tiga musim berturut-turut penanaman percubaan.

Sementara itu, DOA telah meneroka salah satu model pembangunan yang berpotensi iaitu konsep turnkey yang menggabungkan Reka Bentuk, Bina, Operasi dan Pemindahan (DBOT).

Model DBOT merupakan rangka kerja penyampaian projek yang biasa digunakan dalam perkongsian awam-swasta (PPP) untuk projek infrastruktur berskala besar.

“Model ini memanfaatkan kepakaran sektor swasta dan kapasiti pembiayaan sambil memastikan pemilikan awam jangka panjang dan penyampaian perkhidmatan,” jelasnya.

Sebagai menyokong usaha pembangunan dan pengeluaran padi, DOA bakal menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak.

Perkara itu telah dibincangkan menerusi Bengkel Pemantapan Pengeluaran Padi dan Beras di Sarawak.

Satu mesyuarat penyelarasan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan anggota Pasukan Petugas Padi dan Beras akan diadakan bagi membincangkan mengenai hala tuju industri padi dan beras di Sarawak.

“Bengkel telah mengesyorkan penubuhan Pasukan Petugas Padi dan Beras yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Amar Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

“Pasukan Petugas ini bertanggungjawab untuk membangunkan dan menggubal dasar dan hala tuju strategik yang berkaitan dengan industri padi dan beras di Sarawak, dengan matlamat utamanya untuk membentuk Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB),” ujarnya.

oleh Henrietta Liza