News

 

Sarawak perlukan sekurang-kurangnya 1,000 doktor veterinar bertauliah

Posted on 20 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo
Dr Rundi (dua kiri) merakam kenangan bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kanan), Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu (kanan) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting (kiri) semasa berada di pekarangan DUN hari ini. - Gambar Chimon Upon
Dr Rundi (dua kiri) merakam kenangan bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas (dua kanan), Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu (kanan) dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting (kiri) semasa berada di pekarangan DUN hari ini. - Gambar Chimon Upon
 

KUCHING: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 doktor veterinar bertauliah termasuk saintis haiwan dan para veterinar menjelang 2030, menurut Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom. 

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini, berkata buat masa ini, hanya 96 doktor veterinar yang bekerja di kedua-dua sektor awam dan swasta di Sarawak.

Susulan itu katanya, bagi menangani masalah kritikal itu, cadangan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar di Semenggok telah dikemukakan. 

“Kementerian saya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam merealisasikan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar.

“Beberapa pertemuan antara kementerian saya dan MEITD bersama-sama dengan UPM telah diadakan untuk membincangkan dan memuktamadkan model pengurusan bagi cadangan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar,” katanya.

Dr Rundi menambah, Senat UPM telah mengesahkan cadangan model pengurusan yang digubal oleh Pasukan Petugas.

Dengan penubuhan Pusat Pengajian Perubatan Veterinar ini juga katanya, ia akan memperkukuh perkhidmatan veterinar di Sarawak untuk membasmi penyakit zoonotik dan mempercepatkan pembangunan industri ternakan bernilai RM3 bilion di Sarawak.

“Selain itu, kementerian saya menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak telah membentangkan cadangan penstrukturan semula untuk penambahan 566 jawatan kepada Jawatankuasa Pembangunan Organisasi Sarawak (SODC) yang telah dipersetujui secara prinsip pada 21 Ogos 2024,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Rundi memaklumkan bahawa setakat Oktober 2024, pembinaan Loji Penghancur Kernel (Kernel Crushing Plant) sedang berjalan lebih awal daripada jadual dan dijangka siap pada Disember tahun ini serta mula beroperasi pada awal 2025.

Loji itu diunjurkan menghasilkan 13,500 tan metrik ‘palm kernel cake’ setiap tahun, yang akan digunakan sebagai bahan utama dalam pengeluaran makanan haiwan.

Pembinaan loji ini katanya, merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada jagung import dan bahan makanan bagi haiwan di Sarawak, susulan peningkatan semakin meningkat.

“Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) kini sedang mewujudkan sumber khusus bahan mentahnya sendiri dengan menggunakan biojisim sawit dan produk sampingannya.

“Walaupun produk minyak sawit tidak dapat menggantikan sepenuhnya keperluan bahan import seperti jagung dan makanan kacang soya, inisiatif ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang konsisten dan lebih murah untuk pengeluaran makanan haiwan,” katanya. 

oleh Hafizah Abdul Hamid