News

 

Kekurangan penuai sawit jejas hasil, pengeluaran, kualiti tandan buah segar, keuntungan

Posted on 19 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo

 

KUCHING: Kekurangan tenaga kerja terutama penuai di ladang kelapa sawit kekal cabaran utama yang menjejaskan hasil, pengeluaran, kualiti tandan buah segar dan keuntungan industri.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata oleh itu kementeriannya akan terus melakukan libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memudahkan pengambilan pekerja asing lebih-lebih lagi Pekerja Migran Indonesia (PMI). 

"Ini termasuk mempercepatkan kelulusan dan pengeluaran Kelulusan Dalam Prinsip, lesen buruh dan Calling Visa untuk memastikan pengusaha ladang boleh mengakses tenaga kerja diperlukan untuk mengekalkan industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Mengenai isu jurang harga tandan buah segar sawit (FFB) merentasi pelbagai wilayah di Sarawak yang sering dibangkit pekebun kecil kelapa sawit, Dr Rundi berkata harga komoditi itu ditentukan oleh dinamik pasaran khususnya penawaran dan permintaan.

"Bagi kes FFB, faktor harga merangkumi harga pasaran Minyak Sawit Mentah (CPO) dan Isirung Sawit; logistik iaitu jarak dan kos pengangkutan; kualiti FFB iaitu kematangan, kebersihan, kandungan lembapan, kesegaran); kadar perahan minyak dan variati kelapa sawit (iaitu dura, tenera)," jelasnya.

Dr Rundi menegaskan kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tidak menentu atau menetapkan harga FFB sebaliknya menyediakan rujukan harga harian berdasarkan harga pasaran semasa CPO, isirung sawit dan minyak isirung sawit mentah di setiap wilayah.

Harga ini jelasnya diperoleh daripada kontrak yang didaftarkan oleh pemegang lesen dengan MPO, tambahnya.

"Rujukan harga FFB pada Kadar Perahan Minyak satu peratus (1%) berfungsi sebagai penanda aras oleh penjual dan pembeli dalam transaksi FFB," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata secara keseluruhannya sektor kelapa sawit terus menyaksikan peningkatan dengan jumlah keseluruhan nilai eksport RM14.6 bilion bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit (4.14 juta tan) bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024.

Jumlah pengeluaran FFB di Sarawak telah meningkat 1.7 peratus daripada 17.66 juta tan kepada 17.95 juta tan berbanding tempoh yang sama tahun lepas manakala pengeluaran Minyak Sawit Mentah menunjukkan perningkatan 0.05 peratus kepada 3.47 juta tan dalam tempoh yang sama, katanya.