News

 

Projek jelapang padi dimulakan di utara Sarawak

Posted on 17 Nov 2024
Source of News: TVS

Awang Tengah dan Henry Sum pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan Ba'kelalan. Foto TVS
 

LAWAS, 17 Nov: Projek jelapang padi akan dimulakan di utara Sarawak dengan pembinaan infrastruktur asas meliputi kawasan Miri, Limbang dan Lawas.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem saliran dan pengairan bersesuaian penting bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan.

Menurutnya, projek itu penting sejajar dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk memastikan sektor keterjaminan makanan dan menyokong keperluan makanan rakyat.

“Penanaman padi itu adalah salah satu fokus kita and Premier Sarawak sudah memberitahu saya untuk utara Sarawak meliputi kawasan di Miri, Limbang dan Lawas. Beliau telah menyediakan setengah billion ringgit untuk infrastruktur khusus bagi sistem pengairan dan saliran,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’Kelalan malam tadi.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, kawasan yang dicadangkan untuk Lawas ialah penanaman padi di Ba’kelalan, Long Semadoh termasuk di Trusan yang memiliki kesesuaian tinggi dalam penanaman padi secara besar-besaran.

“Selain itu sektor ternakan dan lainnya yang berkaitan dengan sektor keterjaminan makanan turut dibangunkan bersama infrastruktur lainnya yang diperlukan rakyat,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Setiausaha Eksekutif Parti PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek.-TVS