News

 

Lada Sarawak berkualiti tinggi

Posted on 15 Nov 2024
Source of News: Suara Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur pertanian terutama tanaman lada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata, pekebun lada di Meluan memerlukan lebih banyak infrastruktur kerana mereka ialah pengeluar lada berkualiti terbaik di Sarawak.

“Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) tidak seharusnya mengabaikan lada hanya kerana ia di bawah agensi persekutuan, Lembaga Lada Malaysia (MPB).

“Kita harus fokus untuk meningkatkan nilai komoditi yang sudah kita miliki sebelum memperkenalkan tanaman baharu,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

 Justeru, beliau ingin membangunkan jenama khusus “Lada Julau” kerana lada dari kawasan Ulu Entabai dan Masit adalah berkualiti tinggi.

“Pekebun di kawasan ini amat mahir menanam lada dan juga kualiti tanah dan sumber air membolehkan mereka menghasilkan lada putih krim yang amat berkualiti tinggi,” ujarnya.

Di samping beliau mencadangkan satu kajian iaitu ‘Protected Geographical Indicator’ (PGI) untuk lada Julau dalam memelihara dan mengiktiraf kualiti pekebun kecil dari kawasan ini.

Rolland turut memohon kerajaan untuk membina gudang bagi mereka memproses dan menyimpan lada.

Malah beliau mencadangkan sebuah fasiliti kajian dan penyelidikan (R&D) ditubuhkan di sini untuk meneroka teknologi yang lebih baik dan efisien dalam memproses lada putih krim.

Tambahnya, beliau ingin mengetuai projek ini dan memohon peruntukan khas daripada Premier untuk menjayakan projek tersebut.