KUCHING, 15 Nov: Agrobank bakal membuka dua cawangan baharu di Sarawak tahun depan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat terutama penduduk di kawasan luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembukaan cawangan mikro Agrobank tersebut adalah bertempat di Spaoh dan Gedong.
Menurutnya, cawangan tersebut pada peringkat ini sedang dalam fasa menyiapkan infrastruktur dan ia akan dibuka pada Januari 2025.
“Kita juga melaporkan perkembangan terkini kepada Premier Sarawak mengenai aktiviti Agrobank seperti pembukaan cawangan baharu dan kita menyasarkan dua cawangan mikro di Spaoh serta Gedong, kita sedang menyiapkan infrastruktur pada masa ini.
“Insya-Allah cawangan tersebut akan dibuka pada awal tahun depan Januari tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Pada masa sama, Agrobank meneyrahkan zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM 233,045.09 kepada Tabung Baitulmal Sarawak.
Zakat tersebut disalurkan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan agar tiada komuniti yang tercicir dalam pembangunan pada masa ini. -TVS