KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak telah mengenal pasti kawasan Sungai Tunoh, Kapit sebagai lokasi untuk penanaman padi.
Timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kawasan yang berkeluasan 216 hektar berkenaan sesuai dan telah dicadangkan dalam senarai perancangan kerajaan untuk dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur asas pengairan dan saliran.
“Kementerian saya mengambil maklum mengenai kawasan baharu iaitu Sungai Entuloh, Kapit.
“Justeru, Jabatan Pertanian Sarawak sedang menjalankan kajian kesesuaian dan kebolehlaksanaan di kawasan tersebut bagi menilai potensi sebagai kawasan penanaman padi dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai mengenai cadangannya terhadap kawasan Tunoh atau Entuloh, Merirai yang sesuai sebagai kawasan penanaman dan pengeluar utama padi di Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Adun Bukit Kota itu menjelaskan bahawa ia selaras dengan sasaran Sarawak untuk mencapai sasaran 60 peratus tahap Sara Diri (SSL) bagi beras menjelang tahun 2030.
Bagaimanapun katanya, terdapat cabaran seperti infrastruktur sistem pengairan dan saliran yang tidak lengkap; penggunaan benih padi varieti tradisional yang mempunyai hasil pengeluaran yang rendah; penggunaan mekanisasi dan automasi ladang yang rendah dalam kalangan pesawah; ketersediaan tanah untuk diusahakan syarikat swasta atau peneraju adalah terhad; dan kekurangan kemudahan pengurusan lepas tuai.
Ketika ditanya mengenai kawasan Merit, Baleh yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi secara komersil, jelasnya Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sumbangan dan insentif kepada pesawah di kawasan berkenaan.
“Seramai 395 pesawah dan 585 penanam padi bukit di kawasan Merit dengan jumlah keluasan kawasan bertanam 980 hektar telah menerima manfaat.
“Pesawah ini menerima Skim Baja dan Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) serta Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB), dengan jumlah nilai bantuan sebanyak RM960,838 untuk tahun 2024,” ujarnya.