Penyakit Selsema Burung


JANGKITAN VIRUS HIGHLY PATHOGENIC AVIAN INFLUENZA
(HPAI)

Apa itu Virus Influenza?

Virus influenza yang menyerang ternakan ayam adalah sama genus dengan virus influenza yang menyebabkan demam selsema pada manusia.  Ia adalah virus RNA keluarga Orthomyxoviridae, genus Influenza.  Saiz virions adalah 80-120 nm diameter (Rajah 1)
 

Picture
Rajah 1:  Ilustrasi Virus Influenza



Pada masa ini virus influenza sub-tip H5N1 dan H7N7 adalah dikenalpasti sebagai 
"Highly Pathogenic Avaian Influenza" (HPAI).  Virus H5N1 adalah yang menyebabkan wabak di Hong Kong, Korea, China, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Indonesia.  Manakala virus H7N7 telah menyebabkan wabak di Holland.

 

 

 

 

 





Apakah Tanda-tanda Jangkitan HPAI?

Ayam yang dijangkiti virus HPAI akan menunjukkan tanda klinikal setelah 2-3 
minggu dijangkiti.  Tanda utama sebelum ayam tersebut mati ialah:

  • Berair pada hidung dan mata
  • Berak cair
  • Balung dan kaki menjadi amat merah (Rajah 2), kemudian menjadi pucat dan kebiruan
  • Kematian yang tinggi mencapai 70-100peratus
  • Bagi ayam penelur, pengeluaran merosot dan terus berhenti
Picture
Rajah 2:  Tanda klinikal jangkitan HPAI.  Balung, gelambir dan kaki membengkak dan menjadi merah

Bagaimana Virus HPAI Tersebar?

Virus HPAI hadir di dalam cecair dari mata, hidung dan mulut (selsema) dan juga najis ayam yang terjangkit.  Virus ini hidup di persekitaran kadang-kadang  mencapai masa hingga sebulan.  Ayam yang lain akan terjangkit menerusi makanan dan air minum tercemar, pernafasan dan melalui mata. Jadi ia boleh menjangkiti secara langsung (contact) atau tidak langsung (formites).  Jangkitan tidak langsung boleh menyebabkan wabak merebak dari satu ladang ke ladang yang lain.

Apakah Peranan Burung Hijrah Dan Unggas Air?

Burung hijrah (migratory birds) dan unggas air adalah perumah "reservoir" yang tidak menunjukkan tanda klinikal.  Burung ini berhijrah dari kutub utara ke Australia dan singgah di beberapa tempat termasuk Malaysia.  Jika terdapat jangkitan di tempat asalnya dan persinggahannya, burung ini akan turut membawa virus tersebut.  Virus ini akan mencemari air dan sekitaran "bird sanctuary".  Jika terdapat ladang sekitaran "bird sanctuary" ini jangkitan boleh berlaku.  Unggas air tempatan jika turut mengunjungi "bird sanctuary" boleh dijangkiti dan menjadi pembawa.

Apakah Yang Perlu Dilakukan Jika Mengesyaki Ayam-ayam Di Ladang Dijangkiti HPAI?

Apabila anda mengesyaki ayam-ayam di ladang ada dijangkiti HPAI (kematian lebih 5% dengan tanda-tanda klinikal dinyatakan) anda perlu mengambil tindakan SEGERA:
 

Picture
Rajah 3: Periksa kesihatan ayam di ladang setiap hari
  • Henti pergerakan serta-merta - tutup ladang, pastikan tiada ayam dibawa keluar dari ladang, tiada kenderaan keluar masuk, kawal pekerja keluar masuk ladang, pekerja yang perlu sahaja dibenarkan bertugas dan pastikan mereka memakai pakaian keselamatan
  • Tingkatkan biosekuriti di pintu masuk ladang
  • Hubungi Bilik Gerakan HPAI, Makmal Diagnosa Veterinar Negeri Sarawak dan mana-mana Pejabat Veterinar Bahagian
  • Kemaskini maklumat ladang
Pengesahan Jangkitan HPAI

Pengesahan jangkitan dibuat di Institut Penyelidikan Haiwan, Ipoh.  Sampel-sampel akan dikumpul dan disuntik ke dalam telur berembrio.  Cecair alantoik akan diambil dan dikenakan ujian HI dan HA.  Ujian pengesahan yang lebih pantas menggunakan teknik PCR (polymerase chain reaction) juga dijalankan.

Kerjasama Berbagai Pihak Dapat Membantu Mengawal Rebakan Jangkitan HPAI

Rebakan jangkitan HPAI ini akan dapat dikawal dengan mengambil tindakan SEGERA:

  • PENTERNAK memberitahu Jabatan bila mengesyaki berlaku wabak di ladang
  • JABATAN menjalankan penyiasatan dan membuat pengesahan
  • PENTERNAK, JABATAN DAN PIHAK INDUSTRI memberikan kerjasama bila pemusnahan terpaksa dijalankan
  • PERSATUAN PENTERNAK mempastikan ahli-ahli mematuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan bagi mengawal dan membasmi penyakit
Adakah Manusia Boleh Dijangkiti HPAI (ZOONOTIK)?

Kedua-dua jenis virus HPAI H5N1 dan H7N7 boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan kematian terutamanya kanak-kanak.  Pastikan pekerja ladang memakai pakaian pelindung keselamatan yang sesuai terutamanya "mask"
 

SILA HUBUNGI TALIAN DAN EMEL BERIKUT BILA MENGESYAKI WABAK SELSEMA BURUNG MELANDA LADANG ANDA:

Talian: 082-612949, 082-611607
Fax: 082-613460

Bahagian Veterinar, 
Jabatan Pertanian Sarawak

Picture

[ Atas ]