
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan tinjauan ke plot tanaman padi milik Green World Genetics (GWG) Sdn Bhd di Simpang Bungin, Spaoh hari ini bagi melihat sendiri perkembangan projek pengeluaran benih padi hibrid di kawasan tersebut.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban hadir bersama isteri, Datin Amar Dato Doreen Mayang.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), lawatan singkat tersebut bertujuan meninjau aktiviti penuaian padi menggunakan kaedah moden di plot tanaman berkenaan yang dikendalikan oleh GWG Debak Station, salah satu cawangan syarikat itu di negara ini.
Difahamkan, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman dengan pihak syarikat pada September 2020 yang membawa kepada penubuhan GWG Debak Station.

Perusahaan ladang benih itu terletak berhampiran Simpang Debak dan memberi tumpuan kepada pengeluaran biji benih hibrid.
Plot tanaman padi di Simpang Bungin, Spaoh pula merupakan antara usaha penting dalam pengeluaran benih padi hibrid berkualiti tinggi.
Benih yang dihasilkan disasarkan sesuai dengan keadaan tanah tempatan, lebih tahan terhadap penyakit serta mampu meningkatkan produktiviti hasil padi.
Projek tersebut sentiasa mendapat perhatian Timbalan Premier Sarawak itu yang dilaporkan kerap melakukan lawatan berkala bagi memantau perkembangan semasa berkaitan penghasilan biji benih pelbagai tanaman di lokasi berkenaan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif GWG Dr Chua Kim Aik, Pegawai Pertanian Bahagian Betong Leo Toni serta Pengurus Projek GWG Debak Station Low Kok Leong.