M-FICORD Wajar Nilai Semula Peranan, Demi Keberkesanan Pelaksanaan
Posted on 14 Jan 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Penilaian semula peranan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dilihat perlu sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar, memperkemas tadbir urus serta memastikan fokus yang lebih jelas terhadap tanggungjawab teras kementerian tersebut.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, M-FICORD merupakan antara kementerian yang memikul skop tanggungjawab yang luas dengan pelbagai portfolio penting di bawah satu pentadbiran.
Menurut beliau, kementerian itu sejak sekian lama merangkumi bidang pertanian, pembangunan tanah dan pembangunan luar bandar sekaligus menjadikannya sebuah entiti yang kompleks dari segi perancangan dan pelaksanaan.
"Namun untuk tahun-tahun atau penggal akan datang, mungkin kita perlu menilai semula, supaya lebih fokus kepada tugas-tugas kementerian.
"Kita juga akan mempunyai menteri tambahan, tidak lebih daripada empat orang, supaya tanggungjawab dapat dikongsi tetapi perkhidmatan awam akan kekal sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Industri Asas Tani Gemilang 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Rabu.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut mencadangkan penubuhan satu unit di bawah kementeriannya untuk menguruskan buah bermusim terutamanya bergerak ke arah hiliran untuk menghasilkan produk-produk berasaskan buah-buahan tersebut.
Jelasnya, ini kerana rasa simpati beliau terhadap para petani yang telah digalakkan oleh kerajaan untuk menghasilkan buah-buahan bermusim ini namun pengurusan buah bermusim masih belum diurus secara sistematik.
"Jadi jawapannya ialah, kita perlu bergerak ke hiliran di mana kita perlu mencipta produk demi produk dan mestilah boleh dipasarkan.
"Contohnya, durian boleh dijadikan pes, ais krim dan sebagainya termasuk dabai juga boleh dijadikan pelbagai produk," ujarnya lagi.
Hadir sama, Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Daha, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Gilbert Igi serta warga kerja Jabatan Pertanian Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ahmad Daniel Faiz